sukan

PJ City mungkin ‘tutup kedai’ musim depan

Petaling Jaya City FC (PJ City) sedang mencari pembeli baharu bagi meneruskan legasi pasukan itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Menurut sumber, kelab yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga M) itu sedang berusaha menyelamatkan pasukan daripada ‘tutup kedai’ pada musim 2023.

Jelas sumber, jika usaha terbabit gagal, kemungkinan jalan terakhir yang terpaksa diambil adalah dengan menutup pasukan.

“Tengah cari pembeli yang nak ambil alih pasukan. Kalau tak dapat, mungkin tutup,” katanya ketika dihubungi.

Jelas seorang lagi sumber, sehingga kini masih belum ada notis secara rasmi daripada pihak pengurusan mengenai perkara terbabit.

“Tak ada lagi (hitam putih) mengenai kelab ditutup. Mereka (pengurusan) sedang berusaha nak cari pihak yang berminat untuk menguruskan kelab,” katanya.

Ujarnya lagi, pemain dan pegawai pula sudah dimaklumkan untuk mencari pasukan lain untuk saingan musim depan.

“Pemain dimaklumkan supaya cari pasukan (pasukan baharu) lebih awal. Ramai yang tengah mencari dan ada juga yang sudah ditawarkan kontrak”.

Sumber : HM

Jika benar PJ City ‘mengangkat kaki’ musim depan, ia bakal menyaksikan saingan Liga Super tinggal 15 pasukan sahaja selepas Melaka United dan Sarawak United tidak dibenarkan beraksi ekoran kegagalan meraih lesen kebangsaan.