sukan

Tiga lagi pemain import akan sertai JDT

Kesemua anggota skuad utama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini mampu menarik nafas lega apabila semuanya dikekalkan dan tiada seorang pun digugurkan.

Ia disahkan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards selepas mengumumkan di laman rasmi kelab itu hari ini.

Sebaliknya empat pemain baharu akan dibawa masuk serta tiga tonggak dari skuad JDT II bakal dinaikkan pangkat ke pasukan utama.

Jelas Alistair, daripada empat pemain baharu itu, tiga daripadanya adalah tonggak luar negara dan seorang lagi pemain tempatan.

“Berhubung dengan pemain baharu, kelab telah mengenalpasti empat pemain baru — tiga pemain luar negara dan hanya seorang pemain tempatan.

“JDT juga akan mengekalkan kesemua pemain tempatan dan luar negara dalam skuad senior semasa. Tiga pemain dari JDT II juga akan dinaikkan pangkat ke pasukan senior,” katanya.

Musim ini menyaksikan skuad Harimau Selatan sudah ‘menapau’ tiga trofi iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan mempertahankan Liga Super buat musim kesembilan berturut-turut.

Kini, JDT dalam laluan untuk meraih gelaran keempat apabila berada dalam situasi terbaik untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membenam Kelantan FC di suku akhir pertama Sabtu lalu.

Selain itu, JDT II juga mempamerkan kejagohan apabila menjuarai Liga Perdana buat pertama kali musim ini.

Mengulas mengenai pusat latihan baharu JDT pula, Alistair menjelaskan projek berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara ekoran masalah kewangan.

“DYAM Tunku Mahkota Johor turut bertitah pembinaan fasa pertama Pusat Latihan JDT yang baharu di Iskandar Puteri akan tertunda ekoran kekangan kewangan yang disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa di Malaysia.

sumber:-HM

“JDT akan memberikan maklumat-maklumat lanjut berkaitan kelab dalam masa yang terdekat,” katanya.