sukan

PJ City masih mahu bersaing

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Petaling Jaya City (PJ City) masih berminat untuk meneruskan saingan Liga Super pada musim depan.

Situasi terbabit dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang menyatakan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang surat penarikan secara rasmi daripada pihak pengurusan kelab terbabit.

Malah, beliau berkata, pada perjumpaan MFL bersama pengurusan PJ City, baru-baru ini, tiada sebarang ‘bunyi’ atau perbincangan berkaitan kelab terbabit berhadapan masalah sehingga terpaksa menarik diri daripada meneruskan saingan di Liga Super.

“Belum ada laporan PJ City akan tarik diri daripada saingan Liga Super musim depan. Secara peribadi, saya bertemu dengan pengurusan tertinggi pasukan itu dan mereka masih meneruskan hasrat untuk bersaing tahun depan.

“Namun, kita tidak tahu jika mereka ada perbincangan lanjutan selepas kempen Piala Malaysia pasukan itu berakhir, baru-baru ini dan perkara itu perlu diumumkan oleh mereka.

“Buat masa ini, saya tidak mahu komen mengenai spekulasi itu, tetapi jika mereka benar-benar mahu menarik diri, sudah pasti kami akan dimaklumkan,” katanya pada sidang media di Majlis Pelancaran Setem Edisi Khas Piala Malaysia 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer serta dua bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Azman Adnan.

Mengikut rekod, selain PJ City, kelab UiTM FC turut dicanang antara pasukan yang berkemungkinan besar menarik diri daripada saingan Liga Malaysia, musim depan.

Selain itu, Stuart berkata, PJ City dan UiTM FC lulus pelesenan kelab dengan berjaya, tetapi perlu memaklumkan awal seandainya enggan meneruskan saingan dalam kempen Liga M.

“Dua kelab ini lulus dengan baik. Jika kelab itu mahu dijual, kami akan pantau proses pengambil alihan pasukan.

sumber:-HM

“Apa yang pasti, kami sentiasa berhubung dengan semua pasukan dan saya harap 16 pasukan Liga Super yang bertanding dapat membuat pengesahan penyertaan sebelum penghujung Disember depan,” katanya.