sukan

Soh Wooi Yik mengaku sukar konsisten

Pemain beregu negara, Soh Wooi Yik mengakui dia serta gandingannya, Aaron Chia perlu memperbaiki aksi konsisten di atas gelanggang sekiranya mahu memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini.

Status selaku juara dunia yang diraih pasangan negara itu, Ogos lalu menyaksikan tumpuan lebih terarah kepada mereka terutamanya selepas kandas di separuh akhir Terbuka Denmark serta pusingan pertama Terbuka Perancis, baru-baru ini.

“Tekanan memang sentiasa ada tapi seperti pernah saya katakan sebelum ini, kami perlu fokus pada setiap perlawanan. Saya akui prestasi kami tidak konsisten. Sekejap baik, sekejap tak baik. Perkara inilah yang perlu diperbaiki dan ia juga mengambil masa.

“Selepas muncul juara dunia, kami sememangnya mahu menjadi juara lagi tapi kami harus memperbaiki kelemahan ini sebelum berfikir lebih jauh lagi,” katanya serta Aaron yang berada dalam senarai pencalonan Ikon Sukan Lelaki untuk Anugerah Ikon Sukan (AIS) yang julung kali dianjurkan Harian Metro bersama penaja utama, Gardenia Breakthru.

Di sebalik itu, Wooi Yik serta Aaron juga tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawab mereka selaku pemain senior di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan membimbing barisan pemain muda untuk cuba mengikuti jejak langkah mereka.

Katanya barisan pemain muda negara harus mempunyai hati besar, impian tinggi dan kesungguhan jitu sekiranya mahu mengecapi kejayaan seperti yang dilalui olehnya serta Aaron.

“Mentaliti amat penting kerana kadang-kadang mereka tidak ada hati besar untuk capai satu-satu benda, seperti kami juga, kami perlu ada hati besar untuk menang gelaran.

“Seperti dalam latihan, latihan keras amat penting, bukan usaha keras di gelanggang pertandingan sahaja. Ini tidak, dalam latihan bersama kami, mereka nampak terlalu ‘respect’.

sumber:-HM

“Sepatutnya mereka cabar kami dengan bersungguh-sungguh, baru beroleh kemajuan dalam permainan seperti kami dulu juga, kami cabar Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, bersungguh-sungguh dan dapat lihat kemajuan,” kata Woo Yik.