sukan

Bidoglio akan buat rombakan

Kemenangan diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menewaskan Kelantan FC 2-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Kota Bharu, Sabtu lalu boleh diibaratkan pasukan itu sudah sebelah kaki layak ke saingan separuh akhir piala berprestij itu.

Tapi skuad Harimau Selatan yang dibimbing Hector Bidoglio tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dikecapi memandangkan ada baki 90 minit perlawanan yang harus dilangsaikan bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Malah Bidoglio pada sidang media selepas tamat aksi di Stadium Sultan Muhammad ke- IV menegaskan belum berpuas hati dengan keseluruhan permainan pada aksi suku akhir pertama dan akan berlatih bersungguh- sungguh bagi memastikan momentum kemenangan diteruskan.

“Ada lagi 90 minit perlawanan dan tugas masih belum selesai malah kami akan menganalis rakaman video bagi memantapkan lagi setiap posisi supaya corak permainan yang bakal ditampilkan lebih tersusun,” kata Bidoglio.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga bakal membuat rombakan kecil di posisi tengah selepas kelibat Afiq Fazail sah tidak dapat diturunkan selepas dilayangkan kad merah dan pastinya Natxo Insa, Nazmi Faiz Mansor dan Safiq Rahim bakal menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Malah Bidoglio juga perlu mengingatkan Leandro Velazquez dan Shio Hong Wan bahawa mereka berdepan bahaya jika diturunkan pada aksi menentang Kelantan FC kerana sudah mengutip kad kuning dan bakal terlepas perlawanan separuh akhir seandai JDT layak.

Bidoglio juga harus berwaspada dengan kebangkitan skuad The Red Warriors (TRW) di bawah kendalian Rezal Zambery Yahya yang akan cuba mengintai peluang untuk tampil dengan corak permainan terbuka bagi memburu gol awal.

JDT semestinya kekal mempertaruhkan Bergson Da Silva bagi memburu jaringan selain kepercayaan terhadap penyerang tempatan, Syafiq Ahmad.

sumber:-BH

Pasukan itu juga harus memperkemaskan lagi benteng pertahanan bagi mengelak barisan serangan The Red Warriors mencuri peluang mencipta gol tatkala aksi 15 minit pertama bakal menyaksikan pasukan lawan akan tampil dengan permainan berintensiti tinggi.