sukan

Kami akan cuba mara sejauh mungkin

Bekalan satu gol yang dibawa dari Stadium Negeri pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2022 masih belum mencukupi buat Sabah FC jika berhasrat mahu mencipta kembali sejarah layak ke separuh akhir, empat tahun lalu.

Pemain tengah Sabah, Irfan Fazail masih menghormati Kuching City FC yang berjaya hadirkan tentangan sengit sambil menyifatkan peluang buat kedua-dua pasukan masih seimbang untuk layak ke peringkat seterusnya. Namun, pemain berusia 31 tahun itu mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri sambil dibantu sokongan padu penyokong akan menjadi pemangkin semangat Sabah dalam usaha menangani tentangan hebat Kuching City.

“Ketika lawan Kuching sebelum ini, saya dapat rasakan situasi masih lagi 50-50 bagi perlawanan kedua nanti tetapi apabila bermain di laman sendiri, saya harap semangat pemain Sabah akan lebih baik.

“Kita berhasrat mahu kekalkan kelebihan jaringan dimenangi tempoh hari dalam usaha melayakkan diri ke separuh akhir. Kehadiran penyokong ke stadium akan menaikkan moral semua pemain kerana tahun ini, penyokong Sabah sentiasa berikan komitmen luar biasa sama ada kami menang atau kalah.

“Jadi, kami akan cuba mara sejauh mungkin serta membawa Sabah ke peringkat lebih tinggi demi penyokong serta berada di tahap fokus terbaik ketika berdepan Kuching,” katanya.

Pada suku akhir pertama 5 November lalu, jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit 69 memisahkan kedua-dua pasukan selepas pemain itu pantas menerpa bola muntah dari penjaga gol, Shaiful Wazizi, hasil cubaan awal Farhan Roslan.

Sementara itu, pasukan Kuching City bakal tampil lebih meyakinkan apabila tonggak utamanya Amir Amri Salleh akan diturunkan pada aksi itu.

Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kehadiran pemain terbabit penting bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan yang sebelum ini agak dilihat ‘sendu’ pada aksi suku akhir pertama.

“Untuk perlawanan esok kami cukup lega kerana pemain utama kami Amir dapat kembali bersama pasukan selepas sebelum ini digantung akibat kad kuning.

sumber:-HM

“Seperti kita tahu pemain muda ini banyak membantu bahagian serangan kami, dan kita boleh lihat ketiadaannya sebelum ini bagi kesan di bahagian serangan,” katanya.