Teka-teki mengenai status Petaling Jaya (PJ) City akhirnya terjawab selepas kelab itu mengumumkan tidak akan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden PJ City FC, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan bahawa penarikan diri daripada Liga M 2023 dilakukan bukan disebabkan masalah kewangan seperti yang didakwa beberapa pihak sebelum ini.
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana melihat kelab itu sukar untuk menyesuaikan diri dengan senario baharu kancah liga bola sepak tempatan musim depan.
Kelab sudah melakukan yang terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan ini terutama kita menjadi antara kelab yang memberi peluang kepada barisan pemain tempatan menonjolkan bakat dan keupayaan mereka.
Tetapi melihat kepada saingan liga musim depan, memang akan menjadi sukar dan mustahil untuk kita mengambil bahagian.
Berbalik kepada tujuan asal penubuhan kelab, kami belanja besar dalam RM15 juta, RM16 juta setiap tahun untuk memberikan yang yang terbaik bagi bola sepak dan sukan negara ini.
“Tahun depan cuaca (senario) bola sepak negara tidak bersesuaian dengan kelab atau pengurusan nak buat. Jangan salah faham, kami tidak menyalahkan MFL dan FAM, mereka buat yang terbaik untuk bola sepak negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Antara perubahan yang akan berlaku dalam Liga M musim depan termasuk semua pasukan boleh menandatangani sembilan pemain import dan setiap pasukan perlu memiliki skuad bawah 23 (B-23) yang akan bersaing dalam Liga Simpanan.
PJ City menjadi satu-satunya kelab yang 100 peratus menggunakan barisan pemain tempatan tanpa tonggak import dengan mereka menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kesembilan.
Selain itu, Subahan menjelaskan pihaknya bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil alih PJ City dan meneruskan persaingan dalam Liga M musim depan.
Kalau ada pihak yang berminat, mereka boleh berhubungan dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) kami bagi membincangkan perkara itu. Selepas itu ia boleh dibawa ke lihak MFL bagi tindakan selanjutnya.
sumber:- BH
“Setakat ini kami masih belum dihubungi oleh mana-mana pihak yang berminat. Tetapi, kami tetap akan meneruskan usaha dalam membangunkan bakat dalam sukan bola sepak,” katanya.