sukan

Kenapa layan saya begini

Selepas sekian lama memendam perasaan yang terbuku di hati, akhirnya pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain ‘membuka mulut’ mengenai kemelutnya dengan pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu tanpa berselindung meluahkan nada kecewa dan terkilan dengan sikap tidak profesional pihak pengurusan yang bagaikan tidak menghargai pengorbanannya selama ini selepas lebih tiga musim bersama skuad Penyu.

Lebih malang beliau berkata, sikap tidak profesional pihak pengurusan TFC kian terserlah selepas beliau menerima surat tawaran lanjutan kontrak daripada ‘kitman’ pasukan di padang secara ala kadar dan bukannya di pejabat sekali gus memperlihatkan khidmatnya bagaikan tidak dihargai seolah-olah mahu ‘menendangnya’ daripada membimbing skuad Penyu musim depan.

Bagaimanapun jurulatih berusia 44 tahun itu tetap profesional dan fokus bersama pasukan sehinggalah skuad bimbingannya mara dengan bergaya ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia selepas menumpaskan juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan agregat 4-1, malam tadi.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya luahkan, berkenaan surat tawaran lanjutan kontrak memang saya menerimanya, surat berkenaan bertarikh 27 Oktober ketika perlawanan dengan Sri Pahang FC, tapi surat itu diserahkan kepada saya pada 29 Oktober oleh kitman pasukan di padang latihan.

Jadi saya rasa terkilan kerana mungkin saya jurulatih pertama di Malaysia mendapat surat tawaran yang diberikan oleh kitman, sedangkan TFC adalah kelab profesional, saya rasa begitu kecewa.

Sepatutnya pihak pengurusan perlu memanggil saya berbincang mengenai tawaran kontrak dan apa KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dan apakah perancangan dan penambahbaikan untuk memantapkan lagi pasukan, lagipun TFC akan bersaing di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

Tapi malangnya dalam surat itu sudah ada KPI untuk saya musim depan tanpa ada sebarang perbincangan, hala tuju pasukan tanpa sebarang perbincangan, bagi saya bukan soal gaji, tapi yang penting bagaimana sebuah pasukan menghargai saya sebagai jurulatih selepas segalanya sudah saya berikan dengan layak ke Piala AFC, mara ke final Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua, ini bukan sesuatu yang mudah termasuk selangkah lagi mara ke final Piala Malaysia.

“Sepatutnya kelab profesional tidak seperti ini, pihak pengurusan perlu memanggil saya, KPI yang ditetapkan dalam surat itu pun bukan sesuatu yang mudah dan sukar, sepatutnya kedua-dua pihak perlu ada perbincangan lanjut, apa-apapun saya tetap fokus kepada pasukan dan saya tegaskan sedikitpun tidak menjejaskan pasukan, saya berjanji akan buat yang terbaik,” katanya.

Bekas striker Terengganu musim 2001 itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang KL City FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi yang memihak kepada TFC 3-1 hasil jaringan Manuel Ott, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman manakala gol sagu hati pelawat dijaringkan Haqimi Azim Rosli.

Ketika ditanya adakah ‘surat kitman’ itu diserahkan selepas desas-desus yang mengaitkan beliau akan berhijrah bersama pasukan Kedah musim depan, Nafuzi berkata majikan berhak berbuat demikian.

“Pengurusan berhak sebab majikan saya, mereka berhak untuk menyambung dan tidak kontrak saya, bagi saya desas-desus dan khabar angin itu adalah sesuatu yang biasa dalam bola sepak, tapi pihak pengurusan sepatutnya memanggil saya adakah saya menerima tawaran berkenaan, tapi pihak pengurusan tidak berbuat demikian.

“Terus terang pemain menyokong saya, mereka memahami situasi saya lalui, disebabkan itu KPI musim ini tercapai, jadi kenapa pengurusan melayan saya sebegini? Itu mereka boleh jawab sebab saya tahu pun kontrak saya bakal disambung selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd dan bukannya daripada pihak pengurusan TFC.

sumber:- BH

“Jadi cukup tempoh 14 hari yang diberikan kepada saya untuk menjawab surat berkenaan, saya akan menyerahkan surat itu pada esok (hari ini) di pejabat TFC,” katanya yang bakal tamat kontrak hujung bulan ini.