sukan

Pegawai Eksekutif TFC buka mulut isu Nafuzi

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan pihaknya akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat bagi menjelaskan kemelut dengan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain.

Justeru, beliau mengharapkan peminat setia skuad Penyu tidak membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan bagi mengelak sebarang kekeruhan.

Satu sidang media akan dibuat dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi berkaitan kemelut itu.

“Namun, bagi menjamin keharmonian pasukan lebih-lebih misi pasukan melangkah ke pentas final, saya minta peminat bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh memburukkan keadaan,” katanya ringkas ketika ditemui di pejabat TFC Sdn Bhd, hari ini.

Terdahulu, Nafuzi meluahkan nada kecewa dan terkilan selain mendakwa mengenai sikap tidak profesional pihak pengurusan yang bagaikan tidak menghargai pengorbanannya selama membimbing skuad Penyu.

Tanpa berselindung jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata, tindakan pihak pengurusan yang menyerahkan surat tawaran lanjutan kontrak kepadanya melalui kitman pasukan seolah-olah tidak menghargai dan tidak profesional selain bagaikan melepaskan batuk di tangga.

Berikutan itu Nafuzi berkata, beliau akan menjawab surat tawaran itu pada hari ini di pejabat TFC selepas tempoh ‘bertenang’ tamat dua hari lalu.

sumber:- BH

Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi, skuad Penyu mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia selepas menumpaskan juara bertahan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-1 sekali gus menang dengan agregat 4-1 dan akan bertemu Selangor FC di separuh akhir.