sukan

Arsenal terus teraju puncak liga

Arsenal akan kekal di puncak Liga Perdana sehingga sambutan Krismas buat kali pertama sejak musim 2007/2008.

The Gunners mengekalkan kedudukan teratas liga selepas juara bertahan, Manchester City mengalami kekalahan mengejut 1-2 kepada Brentford.

Ivan Toney yang tersisih daripada 26 pemain skuad Piala Dunia England, memecah kebuntuan selepas 20 minit permainan di Stadium Etihad sebelum Phil Foden menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama.

Tetapi, ketika kedua-dua pasukan hampir berkongsi satu mata, Toney sekali lagi meledak gol minit ke-97 bagi memastikan tiga mata penuh untuk Brentford.

Ia sekali gus menyaksikan City gagal merampas kedudukan teratas dari Arsenal.

Gunners kemudian mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wolves.

Ia menyaksikan kelab London Utara itu mempunyai kelebihan lima mata di tangga teratas sekali gus memastikan penyokong mereka akan meraikan perayaan Krismas dengan cukup meriah.

Dengan aksi Piala Dunia semakin hampir, Liga Perdana akan berehat seketika selama enam minggu.

sumber:-HM

Kali terakhir The Gunners menduduki tempat teratas adalah pada 25 Disember 2007.