sukan

Konflik TFC, Nafuzi semakin ‘panas’ rayu pemain tinggalkan TFC

Konflik membabitkan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dengan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain kian ‘panas’.

Selepas reputasinya dicalar dan dikritik hebat oleh jurulatihnya sendiri, TFCSB tampil ‘membela diri’ mengenai dakwaan Nafuzi yang menyatakan majikannya itu tidak profesional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh menerusi satu kenyataannya lewat malam tadi menjelaskan, pihaknya melihat kenyataan terbuka jurulatih berusia 44 tahun itu yang membidas majikannya seolah-olah mahu mengkhianati imej pihak pengurusan selepas ditatang bagaikan minyak yang penuh sebelum ini.

Malah, katanya, kenyataan berani dikeluarkan jurulatih itu ketika sidang media selepas aksi kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu lalu, bagaikan mahu menjatuhkan maruah dan profesional kelab itu, lebih-lebih lagi saingan Piala Malaysia belum berakhir dan mereka layak ke separuh akhir berdepan Selangor FC, pada Rabu ini.

“Sebelum ini, pihak TFCSB berdiam diri dan tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan perkara yang berlegar membabitkan Nafuzi bagi mengutamakan fokus pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Tambahan pula motivasi dan reputasi pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik dan ia perlu diteruskan dan dijaga agar fokus pemain khususnya tidak terganggu.

“Namun begitu, apa yang dilakukan pengendali pasukan ini sendiri amatlah mengejutkan pihak pengurusan apabila secara terang-terangan membuat kenyataan media yang membidas pihak pengurusan, perkara ini sedikit sebanyak telah mencalarkan hubungan antara dua pihak.

“Jadi pihak pengurusan melihat perkara ini terus berlarutan dan boleh merosakkan imej kelab, memaksa pihak TFCSB memberi penjelasan mengenai isu berbangkit demi untuk menjaga maruah kelab dan pengurusan ini,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan isu lewat menawarkan kontrak profesional kepada Nafuzi, kelab hendaklah dalam masa 30 hari sebelum tamat kontrak pada hujung bulan ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak.

Menurutnya, pihak kelab sudah mengutuskan surat pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 yang disampaikan melalui pentadbir pasukan kepada pegawai sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022 dan pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab sama ada menerima atau menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma kontrak dalam tempoh 14 hari.

“Namun demikian, dalam tempoh itu, pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada Nafuzi sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media.

“Situasi ini begitu menyedihkan kerana beliau menjadi jurulatih di Terengganu sejak tujuh tahun lalu bermula dengan pasukan T-Team FC sehingga kini bersama pasukan TFC, lebih terkilan dituduh tidak profesional dengan menyatakan pihak pengurusan lambat menawarkan lanjutan kontrak.

“Sedangkan pihak pengurusan dimaklumkan pegawai itu sudah berunding dan menandatangani kontrak bersama sebuah pasukan dalam Liga Super pada Ogos 2022 lagi, iaitu sebelum kenyataan pertama beliau kepada pihak media pada perlawanan Liga Super menentang Penang FC berkaitan dengan hasrat beliau untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim hadapan.

“Keadaan ini melanggar terma dan syarat kontrak kelab apabila pegawai tidak boleh menandatangani dengan mana-mana pasukan selagi mana beliau masih terikat dengan kontrak kelab dan masih berbaki 30 hari sebelum tamat kontrak.

“Pada masa sama, beliau menggunakan seorang penghubung bagi merayu pemain untuk mengikutinya berhijrah ke pasukan baharu itu dan ini sedikit sebanyak menjejaskan fokus pemain memandangkan saingan Liga M masih berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menampakkan sikap tidak profesional pegawai dalam menentukan hala tuju beliau dan seakan-akan ingin mengkhianati imej pengurusan sebelum beliau meninggalkan kelab ini.

sumber : HM

Semalam Nafuzi meluahkan nada kecewa dan terkilan secara terbuka dengan mendakwa pihak pengurusan tidak profesional terutama selepas mendapat surat tawaran lanjutan kontrak menerusi kitman di padang, sekali gus mencalar imejnya sebagai jurulatih profesional.