sukan

Lagenda bola sepak negara pilih JDT

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan pilihan untuk mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Malah, Jamal menyifatkan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut kendalian Hector Bidoglio itu berada dalam momentum terbaik untuk melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) dengan trofi keempat.

“Dalam saingan Liga-M, JDT adalah sebuah pasukan yang stabil, itu realiti sebenar berdasarkan prestasi dari permulaan sepak mula liga sehingga semasa berbanding pasukan lain.

“JDT memiliki pemain yang kualitinya tidak boleh dipertikaikan seperti penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva. Pemain simpanan JDT juga memiliki keupayaan sama seperti kesebelasan utama.

“JDT tidak berdepan masalah jika tonggak utama mengalami kecederaan. Bukan seperti pasukan lain jika berlaku kecederaan beberapa pemain utama, habislah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

JDT yang juga finalis Piala Malaysia bakal berdepan Sabah FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas pada Selasa sebelum menanti kunjungan The Rhinos di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Dalam aksi Liga Super musim ini, JDT meraih kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC di Stadium Likas pada 15 Julai sebelum membenam lawan sama 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 15 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Jamal Nasir berkata, Sabah FC sukar untuk menyaingi keampuhan JDT selepas melihat prestasi mereka ketika berdepan Kuching City di peringkat suku akhir.

“Awal musim, Sabah peak terlalu awal, kemudian prestasi mereka menurun pada penghujung Liga Super. Bola sepak ini apabila peak awal, when drop, you drop tremendously and can’t wake up ke prestasi sebelumnya.

sumber:-SH

“Kita pun dapat lihat bagaimana Sabah bergelut apabila menentang Kuching di Likas sebelum ini. Jadi agak sukar untuk Sabah beri cabaran kepada JDT walaupun di tempat sendiri,” jelasnya.