sukan

JDT selangkah ke pentas final

Peluang Sabah FC ke final Piala Malaysia belum tertutup meskipun tewas 1-0 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Dengan skuad Harimau Selatan hanya membawa bekalan satu gol, aksi yang sengit pasti sekali lagi bakal ‘dihidangkan’ Sabah FC pada aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.

Perlawanan terbabit agak panas yang menyaksikan beberapa pergaduhan dapat disaksikan sepanjang tempoh 90 minit permainan dengan satu kad merah dilayangkan kepada JDT oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.

Penjaga gawang Sabah FC, Damien Lim menjadi pemain paling sibuk pada babak pertama selepas cemerlang menafikan beberapa peluang terbaik JDT yang bermula seawal minit ketiga menerusi Bergson da Silva dan minit ke-26 selain percubaan Arif Aiman Hanapi (minit ke-14).

Tuan rumah tidak bernasib baik apabila tandukan Park Tae Su pada minit ke-17 hinggap di palang sebelum percubaan susulan Taiki Kagayama tepat ke dakapan Farizal Marlias.

Namun, Sabah FC terselamat sekalipun gawang mereka bolos pada minit ke-22 hasil tandukan Bergson apabila jaringan itu dibatalkan susulan penyerang JDT itu berada dalam keadaan ofsaid.

Gol JDT hadir pada minit ke-33 menerusi Arif Aiman yang sempat ‘bergelek’ melepasi kawalan pertahanan Sabah FC sebelum melepaskan ledakan jauh yang menewaskan Damien untuk gol pertama pelawat.

Bersambung babak kedua, JDT terlepas peluang menambah jaringan apabila hantaran menarik Arif pada minit ke-48 gagal disambar dengan tepat Fernando Forestieri.

Bergson terus dikecewakan pada minit ke-58, kali ini selepas sepakan penalti yang diambilnya berjaya dibaca dengan tepat oleh Damien yang melayangkan badannya ke sebelah kanan gawang gol untuk menafikan gol kedua JDT.

JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Muhammad Feroz Baharudin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-72 meskipun melakukan terjahan bersih ke atas Saddil Ramdani.

sumber:-HM

Kelebihan itu tidak cukup untuk membantu skuad Badak mendapatkan gol penyamaan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.