sukan

‘Kalau saya tidak profesional, saya tidak bermain’

Tonggak Terengganu FC (TFC), Faisal Halim berkata, dia akan mengumumkan kepada penyokong bola sepak tanah air jika sudah menandatangani kontrak dengan pasukan lain bagi mengharungi Liga Super musim depan.

Faisal berkata, ketika ini dia kecewa dengan khabar angin yang bertiup kencang menyatakan dia bakal menjadi milik Selangor FC, sekali gus menjejaskan keharmonian TFC dalam mengharungi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.

“Kalau saya dah buat keputusan mesti saya dah umum, kalau saya sudah tandatangan dengan Selangor bulan Jun lalu, saya tidak akan jaringkan gol pada perlawanan Piala FA sebelum ini menentang Selangor.

“Kalau saya tidak profesional, saya tidak akan bermain pada malam ini,” katanya.

Faisal berkata, dia mengharapkan untuk terus kekal bersama TFC memandangkan pasukan terbabit banyak membantu meningkatkan kualiti permainan seterusnya berpeluang mewakili skuad kebangsaan.

“Jujur dikatakan, saya ingin kekal, tetapi keputusan tidak sewajarnya telah berlaku, apa yang saya boleh buat adalah untuk berjuang sehabis baik dengan pasukan Terengganu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pengurusan yang menjaga saya dengan baik, apa yang perlu sekarang adalah misi untuk bawa Terengganu sekali lagi ke final,” katanya.

Selain itu, pemain sayap Harimau Malaya itu mengakui isu membabitkan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain turut memberi kesan besar kepada aksi buruk TFC apabila tewas 1-3 kepada Selangor pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia, malam tadi.

“Sebenarnya benda ini tidak perlu diperbesarkan kerana kita dalam prestasi yang baik, tiba-tiba ada satu isu mengganggu fikiran semua.

“Bukan saya seorang, semua pemain terganggu, tetapi kami cuba elak untuk terlalu tertekan dan bila kalah pada malam ini, perkara ini jadi kembali berbangkit,” katanya.

sumber:-HM

Pada aksi malam tadi, Selangor meraih gol menerusi jaringan Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar manakala TFC meraih jaringan tunggal hasil sepakan percuma Kipre Tchetche.