sukan

Kedah terima penajaan keseluruhan berjumlah RM1 juta

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan kerjasamanya dengan jenama pakaian sukan antarabangsa Lotto Sport Italia melalui penajaan pakaian pasukan untuk aksi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2023.

Perkembangan kerjasama yang diteruskan antara dua pihak itu dimaklumkan melalui media rasmi KDA FC, hari ini sekali gus menyaksikan penajaan keseluruhan berjumlah RM1 juta setahun yang juga sambungan tajaan dari musim ini.

Kedah Darul Aman Football Club dan Lotto Sport Italia (Prestige Sports Sdn Bhd) meneruskan kerjasama semusim lagi bagi tahun hadapan melalui penajaan pakaian sukan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1 juta setahun.

Tajaan termasuklah wang tunai berbentuk royalti jualan barangan KDA FC dan dalam bentuk barangan Lotto Sport Italia untuk kegunaan pasukan Liga Super, Liga Simpanan B23, Piala Presiden B20, Piala Belia B18 dan pasukan B14 & B17 tahun KDA FC bagi mengharungi musim 2023.

“Jumlah keseluruhan adalah 10,785 helai pakaian ditaja Lotto dari pelbagai jenis barangan merangkumi jersi, seluar, baju-T, dan lain-lain dengan anggaran nilai tajaan yang berjumlah RM1 juta termasuk royalti jualan jersi dan nilai pakaian untuk kegunaan enam pasukan,” katanya.

Penajaan oleh Lotto Sport Italia sudah tidak asing lagi buat pasukan Kedah kerana jenama berkenaan sudah sebati dengan skuad Hijau Kuning sejak 2010 lagi selain kualitinya yang tinggi dan bertaraf antarabangsa.

Kualiti pakaian seperti jersi adalah bertaraf antarabangsa dan menggunakan teknologi terkini selaras dengan peredaran bolasepak moden, selain fabriknya yang semakin ringan dan Lotto tidak berkompromi dari segi keselesaan dan kelasakan untuk dipakai pemain.

“Lotto Sport Italia juga adalah penaja pasukan Kedah selama empat tahun sejak musim 2019 termasuklah kerjasama selama dua tahun sebelum ini pada musim 2010 dan 2011 dengan penjualan jersi pasukan Sang Kenari bagi musim 2022 dianggarkan mencecah 16,254 helai,” katanya.

sumber:- HM

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Pemasaran dan Media KDA FC, Tajul Arifin Kamal Baharin memaklumkan pelancaran jersi Sang Kenari untuk musim 2023 akan dibuat mengikut perancangan yang akan diatur pada hujung Januari atau awal Februari depan.