sukan

Nafuzi Zain kongsi faktor kekalahan TFC

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menegaskan bahawa kemelut dalaman membabitkan dirinya dengan pengurusan kelab itu bukan punca skuad Penyu tersungkur di tangan Selangor dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.

Sebaliknya, Nafuzi menjelaskan bahawa kelekaan ketika situasi ‘set pieces’ menjadi faktor anak buahnya terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Malah, jurulatih berusia 44 tahun itu berkata, tiada perbezaan dari aspek persembahan pasukannya ketika berdepan Selangor dengan perlawanan yang diharungi mereka sebelum ini.

Kami tahu kualiti yang ada pada Selangor, dari segi hantaran, pertahanan dan mereka menggunakan kelebihan dari kelemahan kami.

Malam ini bezanya (dengan persembahan sebelum ini) sebab kami kalah 3-1, persembahan permainan sama sahaja dan dari segi peluang kita tengok berapa banyak kami cipta peluang.

“Kita boleh tengok bagaimana kami beraksi dari awal hingga akhir, kita ada peluang cuma tak jaringkan gol dan kita tewas, itu sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Nafuzi dilaporkan meluahkan kekecewaan dan terkilan terhadap pihak pengurusan yang didakwanya tidak profesional terutama berhubung penyerahan surat lanjutan tawaran kontrak musim depan yang diserahkan oleh kitman di padang dan bukannya di pejabat.

Susulan daripada itu pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd tampil ‘membela diri’ selain meluahkan kekecewaan terhadap pegawainya itu.

sumber:- BH

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh mengesahkan Nafuzi menolak tawaran untuk menyambung kontrak membimbing skuad Penyu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.