sukan

Sentuhan ‘ajaib’ Cheng Hoe menjadi

Sentuhan ‘ajaib’ Tan Cheng Hoe terus menjadi buat Selangor FC apabila pasukannya berjaya menewaskan Terengganu 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Kemenangan selesa itu setidak tidaknya memberi tonik tambahan buat Red Giants sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi turun dalam perlawanan timbal balik di Kuala Terengganu Isnin depan, malah kejayaan itu menyaksikan rekod bersih Cheng Hoe kekal apabila tidak pernah tewas dalam sembilan aksi sejak mengambil alih pasukan pada awal bulan lalu.

Malah, kemenangan itu juga amat bermakna ia menamatkan badi kekalahan di tangan skuad Penyu apabila Selangor tidak pernah menang ke atas lawan itu sejak tiga tahun lalu, termasuk tewas tiga kali sepanjang musim ini.

Dalam aksi itu, Cheng Hoe hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama apabila menyenaraikan tonggak pertahanan dari Ghana, Richmond Ankrah bagi menggantikan Yazan Al-Arab yang dipanggil skuad kebangsaan Jordan untuk aksi persahabatan antarabangsa.

Biarpun memulakan aksi dengan bertenaga, namun gawang skuad Red Giants roboh seawal minit ke-18 menerusi sepakan percuma ketua pasukan pelawat, Tchetche Kipre yang cantik melepasi tembok dibina pemain tuan rumah bagi menewaskan Khairulazhan Khalid.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat bekas juara 33 Piala Malaysia apabila Selangor berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan hasil tandukan Ankrah di minit 37 selepas menyambut bola sepakan sudut Mukhairi Ajmal.

Dua minit sebelum babak pertama berakhir, gawang Terengganu bocor lagi di mana gol terbabit mirip jaringan pertama apabila sepakan sudut dimanfaatkan Herlison Caion untuk menanduk bagi meletakkan pasukannya mendahului perlawanan.

Aksi rancak terus disajikan kedua-dua pasukan namun Selangor berjaya menambah gol ketiga di minit 55.

Jalan cerita gol itu juga sama seperti gol pertama dan gol kedua namun yang membezakannya penjaring di mana kali ini ia giliran Shahrul Nazeem yang menanduk masuk sepakan sudut Mukhairi.

sumber:-HM

Terengganu memiliki dua peluang keemasan masing-masing di minit 65 dan 73 tetapi percubaan Kipre kedua-duanya gagal menemui jaring, dengan Khairulazhan cemerlang menepis.