sukan

Zii Jia gagal tempah slot Jelajah Dunia Akhir BWF

Impian jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok, Thailand 7 hingga 11 Disember, tidak kesampaian.

Ia selepas pemain berusia 24 tahun itu kandas di pusingan kedua Terbuka Australia di tangan pemain China, Lu Guang Zu 22-20, 15-21, 16-21, hari ini.

Zii Jia tidak layak beraksi di Bangkok kerana gagal memungut mata yang mencukupi untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.

Sebelum perlawanan hari ini, dia menduduki ranking kesembilan manakala Guang Zu kelapan.

Diletakkan selaku pilihan pertama dan menang dua pertemuan sebelum ini ke atas Guang Zu, nasib Zii Jia bagaimanapun berbeza pada hari ini apabila diberi tentangan sengit sebelum lawannya itu mengesahkan kemenangan.

Sementara itu, pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Australia selepas menewaskan lawannya dari Korea Selatan, Heo Kwang Hee 21-16, 19-21, 21-5.

Pada perlawanan di State Sports Centre di Sydney itu, Tze Yong terpaksa bermandi peluh untuk menewaskan lawannya itu dalam tempoh 1 jam 8 minit.

Pada aksi suku akhir esok, Tze Yong akan bertemu wakil tuan rumah, Nathan Tang.

Keputusan positif di Sydney penting buat pemain berusia 22 tahun itu untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 32 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini dan seterusnya dapat beraksi pada kejohanan bertaraf Super 1000.

Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei mengikut jejak langkah Tze Yong apabila berjaya melepasi cabaran di pusingan kedua.

sumber:- HM

Pemain negara berusia 22 tahun itu nyata tidak berdepan masalah menewaskan wakil India, Anwesha Gowda 7-21, 13-21, sekali gus melangkah ke suku akhir.