Tugas getir pastinya bakal dilalui Terengganu FC (TFC) berdepan Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, Isnin ini.
Namun pemain sayap, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim berikrar untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan skuadnya mampu melangkah ke pentas final Piala Malaysia musim ini.
Pemain pinjaman daripada pasukan Gergasi Merah berusia 25 tahun itu juga berkeyakinan aksi di laman sendiri bakal menambah lagi tonik pasukannya untuk merakam keputusan positif walaupun sedar kini ketinggalan dengan dua jaringan.
Bagaimanapun pemain yang menyarung jersi skuad Penyu bermula Mei lalu menasihati dirinya dan rakan sepasukan agar berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang pasti hadir dengan wajah berbeza untuk mempertahankan kelebihan dua gol.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu lalu, skuad Penyu tewas 1-3 di tangan skuad Gergasi Merah walaupun terlebih dahulu meledak jaringan menerusi kapten, Kipre Tchetche.
“Isya-Allah kami akan cuba memberikan yang terbaik dan akan bermain habis-habisan untuk layak ke peringkat separuh akhir kedua kerana masih berbaki 90 minit lagi.
“Kami percaya pada rezeki, dengan bermain di halaman sendiri dan dengan sokongan ribuan penyokong setia TFC, kita akan cuba mencari jaringan awal untuk mematahkan semangat pasukan.
“Kini kami kekal fokus untuk perlawanan semi final dan percaya kepada perancangan dan strategi jurulatih, harapan kami untuk semua penyokong TFC agar dapat membanjiri stadium memberikan sokongan padu pada aksi penentuan itu,” katanya.
Gergasi Pantai Timur itu yang ketinggalan dengan dua jaringan perlu bangkit melakar kemenangan dengan kelebihan tiga jaringan untuk mengesahkan tiket ke pentas final Piala Malaysia musim ini.
sumber:-HM
Jika gagal, impian peminat untuk menyaksikan skuad Penyu beraksi di pentas final buat kali kedua pada musim ini selepas Piala FA pastinya berkecai.