sukan

‘Drogba Ganu’ tekad bangkit habis-habisan

Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche menegaskan dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk bangkit pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor, malam esok.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar ‘Drogba Ganu’ itu juga akui skuadnya bagaikan ‘harimau luka’ dan bertekad meny3rang habis-habisan untuk memadam dua defisit gol walaupun sedar Selangor FC pasti hadir dengan strategi berbeza.

Tambah pemain paling senior skuad Penyu berusia 35 tahun itu, dia yakin sorakan padu peminat setia yang bakal membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak bakal memberikan tonik berharga buat pasukan.

Bagaimanapun Tchetche yang pernah beraksi bersama skuad Penyu itu pada pentas final Piala Malaysia 2018 mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin selain berwaspada dengan setiap gerakan skuad Gergasi Merah kendalian jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe.

Katanya sebarang kealpaan walaupun sesaat, bakal mengundang padah, selain rakan sepasukannya perlu elak daripada tertekan pada aksi penentuan itu.

“Inilah peluang kami untuk bangkit kerana bermain di laman sendiri, buat ‘pemain ke-12’ sorakan padu anda ditagih bagi memastikan tiket ke final menjadi millik TFC,” katanya ketika dihubungi.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain tewas 3-1 walaupun skuad itu mendahului perlawanan hasil jaringan Tchetche menerusi sepakan percuma.

Pada aksi malam esok, Nafuzi dijangka bakal menurunkan penjaga gol, Suhaimi Husin dengan mengekalkan gandingan Pape Diakite, Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad di benteng pertahanan.

Barisan tengah bakal dihuni pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott yang bakal bergandingan dengan Habib Haroon dan pemain sayap, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim serta Faisal Halim manakala striker bakal menjadi millik Tchetche dan Kpah Sherman.

sumber:- BH

TFC perlu merakam kemenangan dengan kelebihan tiga jaringan untuk mara ke final, jika gagal impian untuk mengulangi pencapaian mara ke final trofi itu sebagaimana musim 2018 berkecai.