Sabah FC menutup ‘buku’ perjuangan mereka musim ini dengan kekalahan 3-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Selatan menyingkirkan skuad Badak dengan agregat 4-1 dan menepati ramalan mara ke final buat kali ketiga berturut-turut sejak 2019 yang mana kejohanan berkenaan tidak dianjurkan pada 2020 akibat COVID-19.
Tiada apa yang perlu diratapi Sabah kerana persembahan yang ditampilkan mereka sepanjang musim 2022 boleh dianggap sebagai pencapaian terbaik skuad Badak dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga berbanding tangga kesembilan musim lalu selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
Insiden dipintas Terengganu FC (TFC) pada saat akhir dalam perebutan gelaran naib juara Liga Super mungkin menjadi peristiwa paling pahit dihadapi Sabah musim ini.
Apa tidaknya, anak buah Kim Swee yang beraksi cemerlang dari awal musim dan pernah dianggap pencabar kejuaraan akhirnya terlepas tiket automatik ke Piala AFC musim depan susulan kekalahan 3-0 di tangan JDT pada aksi terakhir liga.
Malah, impian besar skuad Badak untuk menjuarai Piala Malaysia dan meraih tiket ‘terakhir’ ke kejohanan peringkat Asia itu sekali lagi ‘diganggu’ JDT yang menyingkirkan mereka di separuh akhir, kelmarin.
Namun, peluang untuk Sabah ke Piala AFC musim depan tetap masih terbuka dan apa yang menariknya, kali ini mungkin JDT juga yang akan menjadi penyelamat mereka.
Ia kerana seandainya JDT (juara Liga Super) atau TFC (naib juara Liga Super) muncul juara Piala Malaysia, Sabah akan memperoleh tiket ke Piala AFC musim depan selaku pasukan tangga ketiga Liga Super.
sumber:-BH
Berdasarkan persembahan sepanjang musim ini dan sekiranya tiada elemen kejutan berlaku pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, JDT akan merangkul kejuaran Piala Malaysia buat kali ketiga selepas 2017 dan 2019.