sukan

Sebab Kim Swee pilih TFC

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee optimis peluang pasukan itu layak ke saingan Piala AFC musim depan masih terbuka sambil mengharap aksi final Piala Malaysia bakal menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC, Sabtu ini.

Jelasnya, ada beberapa faktor yang memungkinkan skuad The Rhinos yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga untuk layak secara merit pada pentas Asia itu jika tidak ada perubahan yang dilakukan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada saat akhir.

“Jika JDT dan Terengganu FC di final, ia akan beri slot terakhir kepada kami untuk layak ke Piala AFC memandangkan JDT selaku juara Liga Super sudah layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Terengganu FC yang muncul naib juara liga akan beraksi di Piala AFC dan kami yang berada di tangga ketiga turut layak secara merit.

“Jika JDT dan Selangor FC ke final dan Selangor FC yang muncul juara Piala Malaysia maka harapan kami ke Piala AFC berkubur, apapun semua bergantung pada aksi final Sabtu ini, siapa lawan siapa dan saya enggan terlalu memikirkan apa yang bakal berlaku dan jika ada rezeki kita layak maka persiapan yang lebih rapi bakal dilakukan,” katanya.

Mengulas berhubung perancangan pasukan itu menghadapi saingan musim depan, Kim Swee berkata akan ada penambahah beberapa pemain untuk menguatkan posisi yang perlu diperkemaskan lagi namun terpulang kepada pengurusan kelab yang akan menentukan kerana tidak akan berbelanja besar.

Malah beliau juga tidak menafikan skuad The Rhinos sedang mengadakan perbincangan dengan pemain Petaling Jaya City FC (PJ City FC) Darren Lok untuk menyertai pasukan itu pada musim depan namun enggan terlalu awal untuk mengumumkan.

“Darren sememangnya menjadi sasaran kami pada musim depan tapi kami masih dalam proses perbincangan malah ia juga membabitkan beberapa pemain yang dalam perancangan Sabah FC, apapun kami bukanlah kelab yang mewah dari aspek kewangan.

“Mengenai dua pemain pinjaman dari JDT, Irfan Fazail dan Stuart Wilkins, saya menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang membenarkan kedua-dua pemain itu beraksi bersama Sabah FC pada musinm depan

sumber:-HM

“Malah mereka dapat minit permainan yang baik terutamanya Stuart yang menunjukkan prestasi baik sepanjang musim ini. Apapun kami tunggu keputusan dari pihak JDT sama ada membenarkan mereka beraksi bersama Sabah FC,” kata Kim Swee.