sukan

Tuan rumah Piala Dunia tewas pada aksi pertama

Ecuador menewaskan tuan rumah, Qatar 2-0 pada aksi pembukaan Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt sebentar tadi.

Tuan rumah dikejutkan dengan jaringan minit kelima kapten Ecuador, Enner Valencia, namun dibatalkan pengadil kerana ofsaid selepas diberi isyarat oleh teknologi baharu yang diperkenalkan pada edisi Piala Dunia 2022.

Namun keseimbangan itu sekali lagi digoncang Ecuador apabila Valencia, yang meluru melepasi benteng Qatar, dijatuhkan oleh penjaga gol, Saad Al Sheeb yang turut menerima kad kuning kerana tindakannya itu.

Valencia dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Ecuador di depan pada minit ke-16.

Kapten Ecuador itu sekali lagi menemui sasaran apabila menanduk masuk hantaran lintang Angelo Preciado pada minit ke-31.

Qatar berpeluang merapatkan jurang sebelum rehat, namun Almoez Ali gagal menanduk tepat hantaran lintang Hassan Al-Haydos.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah kendalian Felix Sanchez memperkemaskan permainan dan berjaya mengekang asakan Ecuador yang dikendali Gustavo Alfaro.

sumber:- BH

Kumpulan A turut dibarisi Belanda dan Senegal yang akan bertemu di Stadium Al Thumama esok.