Pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melahirkan nada kesal selain mengecam insiden kekacauan yang berlaku di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak selepas berakhir perlawanan membabitkan TFC dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh dalam satu kenyataan hari ini mengecam sekeras-kerasnya insiden yang dilakukan segelintir penyokong TFC yang membaling batu ke atas bas yang membawa pemain dan pegawai skuad Gergasi Merah malam tadi.
Pada masa sama beliau memohon maaf atas insiden memalukan itu sambil berharap kejadian sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Berkenaan insiden kekacauan yang dilakukan oleh segelintir penyokong TFC ke atas bas pasukan pelawat semalam, pihak pengurusan kelab ingin melafazkan kekesalan serta mengecam tindakan yang dilakukan.
“Perkara ini dilihat telah turut sama mencalarkan imej kelab serta penyokong Terengganu yang sama-sama hadir dalam memberikan sokongan buat pasukan ini.
“Pihak kelab juga memohon maaf kepada pihak pengurusan Selangor FC dan pemain atas insiden yang telah berlaku dan diharapkan perkara ini tidak akan berulang pada masa akan datang kerana pada tahun ini tidak boleh dinafikan lagi para penyokong Terengganu telah menunjukkan komitmen serta disiplin yang sangat baik dalam memberikan sokongan.
“Sesungguhnya segelintir yang telah melakukan kekacauan ini tidak mewakili serta menggambarkan imej serta keperibadian keseluruhan penyokong pasukan ini,” kata Ab Rasid menerusi kenyataan media itu.
Sementara itu Pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab dalam satu hantaran dalam laman sosialnya berkata, gelagat segelintir peminat setia TFC membaling botol di dalam stadium serta melemparkan batu ke arah bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC malam tadi disifatkan tindakan tidak bertamadun.
“Kecewa tercetusnya insiden membabitkan penyokong TFC di dalam dan luar stadium malam tadi, gelagat segelintir penyokong yang melakukan aksi baling-membaling di dalam stadium dan melemparkan batu ke arah bas rasmi Selangor FC yang membawa pemain ketika pulang adalah satu tindakan tidak bertamadun dan berlaku di luar kotak pemikiran manusia.
“Seharusnya tidak wajar berlaku yang dilakukan segelintir penyokong yang tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi, kerana nila setitik rosak susu sebelanga kerana sebelum ini penyokong setia TFC terkenal dengan semangat dan disiplin yang tinggi baik beraksi di tempat sendiri dan luar.
“Justeru pihak kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih lanjut ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya menerusi hantaran dalam laman sosialnya hari ini.
Difahamkan insiden itu berlaku kira-kira jam 12.00 tengah malam ketika bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC dalam perjalanan pulang ke hotel, berikutan itu cermin bas yang membawa mereka pecah.
sumber:-HM
Dalam perlawanan itu, skuad Penyu gagal mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini selepas tumpas secara agregat 3-2 walaupun merakam kemenangan 1-0 dalam perlawanan malam tadi hasil jaringan kapten, Kipre Tchetche pada minit ke-35.