sukan

Ucapan perpisahan Nafuzi buat TFC

Walaupun ‘salam perpisahan’ ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berakhir dengan tangisan selepas gagal membantu pasukannya mara ke pentas final Piala Malaysia malam tadi, jurulatih muda itu tetap berbangga dengan pencapaian skuad Penyu itu musim ini.

Malah jurulatih meningkat naik kelahiran Kelantan itu berkata, pemainnya sudah berjuang habis-habisan hingga ke titisan terakhir untuk mengintai peluang ke final bagi merebut trofi berprestij itu, tetapi tuah ternyata tidak berpihak kepada skuad kendaliannya.

“Malam ini (malam tadi) pemain beraksi dengan baik bermula awal perlawanan lagi hinggalah minit terakhir, kita cuba untuk jaringkan gol dalam misi memburu tiket ke pentas final Piala Malaysia sesudah ketinggalan dua gol selepas tewas 1-3 pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu.

“Selepas gol pertama pada separuh masa pertama, saya jangkakan pemain mampu menjaringkan gol lagi pada babak kedua, tapi pertahanan Selangor beraksi dengan baik dan begitu berdisiplin, situasi ini sedikit sebanyak menyukarkan pemain untuk menghasilkan jaringan walaupun beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Saya sendiri berazam untuk bawa pasukan ke final bagi menamatkan saingan musim ini dengan penuh cemerlang selepas layak ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), layak ke final Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

“Lagipun saya juga ingin memberi kemanisan buat peminat setia dalam perlawanan terakhir di sini, namun saya rasa sedih kerana gagal merealisasikan impian itu, saya akur mungkin rezeki kita hanya di separuh akhir musim ini,” katanya sebak selepas berakhir perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi.

Pada aksi separuh akhir kedua itu, skuad Penyu merakam kemenangan 1-0 hasil jaringan kapten, Kipre Tchetche pada minit ke-35, namun terpaksa menelan kepahitan gagal ke final selepas tumpas secara agregat 3-2.

Ketika ditanya destinasinya musim depan selepas dikaitkan membimbing skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC, bekas penyerang Terengganu musim 2001 itu menjelaskan beliau belum lagi bersedia untuk memaklumkannya.

“Sekarang saya masih bersama TFC dan kontrak akan berakhir hujung bulan ini, jadi mungkin pada masa sesuai nanti saya akan umumkan destinasi musim depan.

sumber:-BH

“Namun sejujurnya saya akan merindui peminat setia Terengganu terutama selepas tujuh tahun berkhidmat di bumi Terengganu, tapi saya terpaksa pergi demi karier,” katanya.