sukan

Faisal Halim akhirnya akui tidak lagi bersama TFC

PEMAIN sayap sensasi Terengganu FC (TFC), Faisal Halim mengesahkan bahawa beliau tidak akan bersama pasukan itu lagi untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, pemain muda kelahiran Pulau Pinang itu belum bersedia mengumumkan destinasi terbaharunya walaupun khabar angin kuat mengatakan bahawa beliau akan menyertai skuad The Red Giants.

Faisal berkata, buat masa ini beliau mahu berehat bersama keluarga selepas melalui musim panjang dan penuh cabaran dengan skuad Penyu yang baru sahaja menamatkan saingan Piala Malaysia selepas terkandas di peringkat separuh akhir.

“Sudah tentu saya tidak lagi bersama Terengganu musim depan. Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC Isnin lalu adalah aksi terakhir saya bersama Terengganu.

“Saya sedang menunggu sekiranya dipanggil untuk skuad kebangsaan, jika tidak dipanggil, saya mahu berehat panjang dan menghabiskan masa bersama keluarga tersayang,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Faisal turut memohon maaf kepada Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain kerana tidak dapat lagi ‘sehaluan’ pada musim depan.

Menurutnya, beliau perlu membuat keputusan terbaik untuk masa depan walaupun sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan akan tetap bersama Nafuzi walau ke mana sahaja destinasinya.

“Buat jurulatih Nafuzi, saya mohon maaf kerana tak dapat sehaluan pada musim depan, tetapi saya perlu buat keputusan sukar untuk saya dan keluarga.

“Keputusan saya bukan sebab gaji, tetapi demi masa depan dan saya harap dia (Nafuzi) dapat maafkan saya,” katanya yang tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata.

Pada masa sama Faisal turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada peminat bola sepak Terengganu yang sentiasa memberi sokongan moral kepada beliau sepanjang tempoh dua tahun di bumi Darul Iman.

sumber : SH

Katanya sokongan tersebut akan menjadi kenangan terindah dan paling bermakna sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional. – Bernama