sukan

Reaksi Cheng Heo bakal berdepan gergasi Liga Malaysia

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe lebih selesa bergelar ‘underdog’ apabila pasukannya bakal berdepan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, reputasi skuad Harimau Selatan selain aksi konsisten skuad kendalian Hector Bidoglio membuatkan dia ‘tabik’ walaupun dalam sukan nombor satu itu apa-apapun boleh berlaku.

Namun beliau tidak sesekali menyerah kalah sebelum ‘bertempur’, sebaliknya bakal membuat persiapan rapi dengan baki beberapa hari sahaja lagi untuk melakukan kejutan menjulang trofi paling berprestij dalam negara itu.

“Kita sedar JDT sudah banyak menang piala dan prestasi mereka cukup konsisten, jadi saya lebih selesa sebagai pasukan ‘underdog’.

“Tapi saya masih menaruh harapan untuk merangkul trofi itu musim ini kerana dalam perlawanan akhir apa sahaja boleh terjadi, tapi yang penting setiap pemain perlu fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa alpa kerana JDT bukan calang-calang pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi yang berakhir dengan keputusan pasukannya tewas 1-0 hasil jaringan Kipre Tchetche.

Namun skuad juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu melangkah ke pentas final selepas menang dengan agregat 3-2 sesudah melakar kemenangan 3-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lalu.

Mengulas perlawanan itu, Cheng Hoe tanpa berselindung akui anak buahnya dilihat sedikit tertekan dengan asakan bertali arus skuad kendalian Nafuzi Zain itu lebih-lebih lagi beraksi di depan hampir 33,500 peminat setia lawan.

sumber : BH

Namun katanya karakter yang diperagakan anak buahnya antara faktor skuadnya berjaya menafikan hajat skuad Penyu untuk melangkah ke final walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain di penghujung babak selepas pertahanan, Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah.