sukan

Semangat luar biasa JDT buru trofi ke empat

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak lagi mahu mengulangi kehampaan pada aksi final Piala Malaysia 2021 sekali gus kini bersedia untuk memberikan segalanya bagi memburu kejuaraan ‘quadruple’ musim ini.

‘Mesin gol’ JDT, Bergson da Silva menegaskan ini kesempatan terbaik buat skuad Harimau Selatan memadam memori pahit apabila tewas kepada KL City FC 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

Tambahnya, semangat berpasukan JDT berada pada tahap tertinggi yang menyaksikan mereka mampu memperagakan aksi konsisten dalam tiap perlawanan.

Kami sangat gembira dengan kejayaan ini, malah kami bermain seperti satu keluarga di atas padang dalam setiap perlawanan.

Pasukan perlu bersedia untuk perlawanan final. Semua orang tahu kesukaran aksi di akhir bagi memenangi trofi Piala Malaysia namun kami akan mencuba yang terbaik.

“Ini detik terbaik buat kami menebus terhadap apa yang terjadi musim lalu kerana kami tidak mahu kecewa dan menangis sekali lagi. Jadi kami akan bekerja keras untuk aksi akhir ini,” katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu kini hanya satu perlawanan daripada ‘menyapu bersih’ semua trofi domestik yang dipertandingkan pada musim ini.

Bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, mereka berjaya menjulang Piala FA selain meneruskan dominasi memenangi kejuaraan Liga Super untuk sembilan musim berturut-turut.

sumber:- BH

Dengan kejayaan mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia musim ini, trofi Piala Malaysia pasti melengkapkan musim 2022 sebagai musim paling gemilang buat JDT.