sukan

Tiada yang mustahil, Ambil contoh Arab Saudi tewaskan Argentina

“Dalam bola sepak macam saya selalu katakan ‘nothing imposible’, dan contoh terbaharu di Piala Dunia apabila Argentina tewas kepada Arab Saudi.”

Demikian pandangan jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menjelang final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Katanya, di atas kertas sudah tentunya JDT dianggap pilihan hangat untuk memenangi trofi itu, namun jangan diketepikan kemampuan Selangor yang mungkin boleh membuat kejutan kerana baginya dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.

Begitupun, beliau mengakui skuad Harimau Selatan memiliki kekuatan dan kelebihan untuk menewaskan skuad Red Giants nanti.

“Dari awal musim saya pernah katakan, JDT musim ini lebih mantap daripada sebelumnya dengan kehadiran Fernando Forestieri, Bergson da Silva dan lain-lain, beri sesuatu yang lebih lagi kepada pasukan itu musim ini.

“Tak mustahil mereka mampu meraih kejuaraan treble (JDT sudah memenangi Piala FA dan Liga Super musim ini) dengan menang Piala Malaysia pula.

“Tapi kita kena ingat, perlawanan akhir ini berbeza dan jika Selangor mempamerkan permainan seperti ketika menang dengan Terengganu (separuh akhir), tak mustahil boleh kejutkan JDT.

“Dalam bola sepak ‘nothing imposible’. Macam perlawanan Argentina, siapa sangka mereka kalah kepada Arab Saudi. Jadi dalam bola sepak walaupun sebelum perlawanan bermula kata pasukan itu pilihan, tetapi ia boleh berubah dan memihak pasukan satu lagi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

JDT mara ke pentas final kelima buat kelab itu yang menjuarai dua kali pada 2017 dan 2019, serta muncul naib juara pada musim 2014 dan 2021.

sumber : HM

Selangor pula berpeluang melakar sejarah unggul dengan memburu kejuaraan kali ke-34, selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015 lalu.