sukan

Komen Cheng Hoe menjelang aksi Final

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mempunyai impian seperti jurulatih lain apabila mahu memastikan kenangan terindah dikecapi pada final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam esok.

Cheng Hoe berkata, kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu sudah pastinya bukanlah mudah untuk direalisasikan, namun dalam bola sepak tiada yang mustahil terutama jika barisan anak buahnya mempamerkan aksi mantap dan mengurangkan kesilapan mudah.

“Mana-mana jurulatih terbaik pun tidak boleh beri jaminan (menang) di final, tetapi impian jurulatih di final sudah pastilah mahu menjadi juara.

“Kita lihat bukan mudah untuk membawa pasukan berada pada tahap terbaik dalam masa singkat dan menjangka aksi sengit dan saingan cukup hebat malam esok.

“Kita pun mahu capai impian (ke Piala AFC), tetapi kita nampak Selangor tidak berada pada tahap terbaik sepanjang musim ini dan final ini satu pencapaian yang besar.

“Kalau muncul juara, itu adalah bonus cukup besar. Jadi saya harap pemain dapat fokus dan percaya mereka mampu memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pada masa sama, bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu mengakui dia tidak memiliki sebarang kelebihan apabila berdepan skuad Harimau Selatan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan.

“Mereka (pemain kebangsaan di JDT) pasti tahu corak permainan dan taktikal yang mahu saya serapkan pada Selangor.

“Setiap aksi final adalah berbeza walaupun saya tahu kekuatan individu setiap pemain JDT dan sebaliknya.

sumber:-HM

“Seperti yang selalu saya katakan kepada pemain, apa yang penting adalah persembahan pada perlawanan akhir itu nanti,” katanya.