sukan

Majoriti pilih JDT sebagai juara

Majoriti jurulatih, bekas pemain dan pemerhati bola sepak tempatan memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai juara Piala Malaysia musim ini berbanding Selangor FC pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan peluang untuk Selangor mencipta kejutan seperti dilakukan Kuala Lumpur (KL) City musim lalu amat sukar.

“Ramalan saya JDT menang 3-0. JDT satu pasukan yang sempurna, setiap bahagian mereka ada kekuatan dan memiliki persefahaman yang baik.

“Peluang untuk menang 70-30 memihak JDT. Mereka bukan sahaja ada Bergson Da Silva yang boleh jaringkan gol, tetapi pemain lain juga mempunyai keupayaan menyumbang jaringan,” katanya.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata: “Saya ramal JDT menang 3-1. Saya rasa tak payah cerita panjang kalau pasukan itu memang mantap dan konsisten sepanjang musim selain inilah masa yang terbaik untuk mereka meraih kejuaraan trebel.”

Pengendali skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Hassan Sazali Waras berkata:”Mungkin JDT menang 2-1. Ramalan saya lebih melihat kepada kekuatan JDT yang mana mereka mempunyai pemain seimbang di semua bahagian.

“Saya tak katakan Selangor tak mampu untuk bersaing dengan JDT. Berdasarkan pengalaman Tan Cheng Hoe (jurulatih Selangor), saya percaya dia tak akan bagi laluan mudah buat JDT.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata: “Jika Kita lihat rekod dan prestasi terkini dengan kualiti pemain yang ada, baik kesebelasan utama mahu pun pemain simpanan, saya letak JDT selaku juara. Ramalan JDT menang 2-0.”

Pengendali PJ City, P Maniam berkata:”Saya pilih JDT, ramalan 2-0. Mereka ada ramai pemain berkualiti dan berstatus pemain kebangsaan selain berpengalaman luas dalam perlawanan besar seperti final Piala Malaysia.”

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata: “Saya fikir JDT akan menang dengan melihat keadaan semasa. Namun Cheng Hoe ada keupayaan membaca kelebihan dan kelemahan JDT. Namun dia terbatas kerana material yang dia ada tak setanding material JDT. Ramalan JDT menang 2-1.”

Sementara itu, hanya pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang berani memilih Selangor sebagai pemenang Piala Malaysia musim ini.

sumber : BH

“Saya jangka Selangor boleh menang 2-1. Cheng Hoe kenal ramai pemain JDT kerana berpengalaman melatih mereka dalam skuad kebangsaan. Selangor juga mungkin boleh ambil aura Arab Saudi yang melakukan kejutan ke atas Argentina di Piala Dunia selain kejayaan KL City mengejutkan JDT di final musim lalu,” katanya.