sukan

Permohonan maaf Sharul Nazeem buat penyokong Selangor

Tonggak pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar memohon maaf kepada penyokong Merah Kuning kerana gagal menghadiahkan Piala Malaysia selepas tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Jelas Sharul atau lebih dikenali dengan panggilan Afro itu, dia dan rakan rakan sudah melakukan yang terbaik pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun rezeki tidak memihak pasukan.

“Kami cuba beri tentangan sengit tapi rezeki tak berpihak kepada pasukan. Penyokong sudah beri yang terbaik, terima kasih atas sokongan semua kepada pasukan,” katanya yang berasal dari Gombak.

Ujarnya lagi, dia mengakui kesilapan individu di babak kedua sedikit sebanyak menyumbang kepada dua jaringan JDT meskipun pasukannya pada satu ketika mendahului 1-0 di depan.

“Betul (sedikit kelekaan), mungkin sebab intensiti perlawanan yang tinggi dan kami hilang fokus sedikit.

“Kami perlu lupakan dan jadikan ia pengajaran untuk tampil lebih baik pada musim depan. Terima kasih kepada jurulatih, pengurusan dan rakan rakan yang berusaha hingga ke peringkat ini,” katanya.

Dalam aksi itu, Selangor terlebih dulu mendahului hasil jaringan penalti Herlison Caion di minit 45.

Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila dua minit kemudian penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan penjuru Matthew Davies.

Gol kemenangan skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Fernando Forestieri yang melepaskan rembatan cantik di babak kedua sekali gus menyaksikan trofi Piala Malaysia diarak ke selatan tanah air.