sukan

Mukhairi impi berada dalam skuad Pan Gon

Tonggak Selangor FC, Mukhairi Ajmal menyimpan impian untuk berada dalam skuad kebangsaan ke Piala AFF 2022 yang akan membuka tirai pada bulan depan.

Menyedari bukan tugas mudah untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan, Mukhairi akan bekerja keras untuk memikat hati pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon seandainya mahu berada senarai akhir ke kejohanan itu.

Perancang tengah berusia 21 tahun itu berkata, latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula esok menjadi medan terbaik untuk pemain muda menunjukkan keupayaan bersama skuad kebangsaan.

“Syukur, mungkin di liga saya bekerja keras dan jurulatih (kebangsaan) pun percaya pada saya. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk mendapatkan tempat ke Piala AFF.

“Saya berasa ini peluang baik untuk semua pemain muda dan satu motivasi kepada semua pemain sebab dia (jurulatih) memanggil ramai muka baharu. Jadi, kami akan bersaing secara sihat,” katanya.

Rabu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan 29 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan ke Piala AFF.

Sehari kemudian, badan ini itu mengumumkan Pan-gon memanggil pertahanan Selangor, Fazly Mazlan yang berada dalam senarai bersedia, sekali gus melengkapkan 30 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat.

Skuad Harimau Malaya terlebih dahulu akan diuji menerusi dua persahabatan antarabangsa sebelum mengharungi Piala AFF.

Anak buah Pan-gon dijadual menentang Kemboja pada 9 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi persahabatan kedua pada 14 Disember di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

sumber:-HM

Seterusnya pengendali dari Korea Selatan itu akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022 dan Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan menentang Myanmar pada 21 Disember, Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura (3 Januari).