sukan

Sepanyol akan gunakan kekuatan sepenuhnya bertemu Jepun

Sepanyol tidak akan memandang mudah keupayaan Jepun dan mahu bermain untuk mencari kemenangan walaupun sekarang ini mendahului Kumpulan E Piala Dunia selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jerman pagi tadi.

“Terdapat perasaan aneh di bilik persalinan kerana kami berpeluang menewaskan Jerman dan kami membiarkannya terlepas dan itu memalukan.

“Bagaimanapun, kami harus menilaikannya semula selepas berada di tangga teratas kumpulan maut ini dan terus kekal positif.

“Seri menentang Jepun Jumaat ini sudah pasti akan membawa kami ke pusingan kalah mati namun kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Kami akan menggunakan kekuatan sepenuhnya dan mencari kemenangan untuk memastikan kedudukan teratas kumpulan,” kata pengendali Sepanyol, Luis Enrique.

Sepanyol jelas sekali lebih baik dan mengawal keseluruhan permainan dalam aksi pagi tadi sebelum mendahului pada minit ke-67.

Bagaimanapun, Jerman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 melalui Niclas Fuellkrug untuk menafikan kemenangan kali kedua berturut-turut pasukan bimbingan Enrique selepas membelasah Costa Rica 7-0 dalam perlawanan pertama.

Mereka berada di tangga teratas Kumpulan E dengan meraih empat mata dan sekarang ini hanya memerlukan seri pada aksi terakhir menentang Jepun untuk mara.

Menang sudah pasti akan menjadikan mereka sebagai juara kumpulan.

Jerman, yang tumpas 1-2 pada aksi pembukaan menentang Jepun, berada di tangga terbawah dengan memiliki satu mata.

Mereka perlu menang ke atas Costa Rica Jumaat ini dan berharap Jepun kalah.

Jika Jepun seri ia akan ditentukan melalui perbezaan jaringan.

sumber:-HM

“Jerman tidak perlu memikirkan perlawanan kami, mereka harus fokus menentang Costa Rica terlebih dulu kerana kita sedang bersaing di Piala Dunia dan setiap lawan mempunyai kualiti masing-masing,” kata Enrique.