Lionel Messi terlepas penalti pada babak pertama tetapi jaringan Alexis Mac Allister dan Julian Alvarez membantu Argentina menewaskan Poland 2-0 dalam aksi Piala Dunia di Stadium 974, awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan mara ke peringkat kalah mati dengan skuad Lionel Scaloni yang menduduki tangga teratas Kumpulan C berdepan Australia di peringkat 16 terakhir.
Manakala Poland menduduki tangga kedua turut mara berdasarkan perbezaan gol dengan Mexico yang hanya menewaskan Arab Saudi 2-1 semalam dan menunggu mereka ialah juara bertahan Perancis.
Argentina mendahului ketika permainan baru memasuki minit pertama babak kedua selepas rembatan Mac Allister yang mendapat hantaran Nahuel Molina melepasi jangkauan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny.
Argentina menguasai keseluruhan perlawanan manakala Poland lebih banyak bertahan di kawasan sendiri menyaksikan penjaga gol skuad Amerika Selatan, Emiliano Martinez jarang diuji.
Jaringan kedua diperolehi menerusi Alvarez minit ke-67 yang meledak rembatan dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran cantik Enzo Fernandez.
“Kami berpuas hati dengan cara kami beraksi. Ia tidak mudah, aksi wajib dimenangi,” kata Scaloni.
“Saya fikir kami membaca perlawanan sangat baik, pemain saya menjalankan tugas dengan cemerlang. Mereka beraksi sangat bagus dan saya amat gembira. Ada kalanya anda tidak gembira tetapi hari ini sangat berbeza.”
Bintang Poland, Robert Lewandowski yang meledak 18 gol dalam 19 perlawanan bersama Barca musim ini gagal melakukan walaupun satu percubaan tepat.
“Dia sangat komited, saya tak mahu kritik sesiapa pun dalam pasukan. Kami tidak membantunya untuk menjaringkan gol,” kata jurulatih Poland, Czeslaw Michniewicz.
“Jika kami lebih banyak menguasai bola, jika Messi bermain dengan kami dan jika Lewandowski beraksi dengan Argentina, dia akan menjaringkan lima gol.”
sumber:-HM
Argentina yang muncul juara kumpulan berharap dapat mara lebih jauh selepas berjaya mengelakkan pertembungan dengan Perancis di peringkat kalah mati manakala Poland mara kali pertama sejak 1986 berdepan cabaran sukar apabila menentang skuad kendalian Didier Deschamps itu.