sukan

Pasukan baru Kpah Sherman

Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman disebut-sebut bakal mengetuai jentera serangan Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sherman yang menyarung jersi Terengganu FC (TFC) musim ini dikatakan berminat menyertai skuad Tok Gajah selepas semusim bersama skuad Penyu itu.

Difahamkan, pemain berusia 30 tahun itu sudah menyatakan persetujuan untuk menabur bakti bersama Sri Pahang.

Sementara itu, sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) berkata, setakat ini, segalanya berjalan lancar untuk menyenaraikan Sherman dalam skuad itu musim depan. ”

Kelab sememangnya bersetuju dan diharapkan urusan kontrak dapat diselesaikan bulan ini.

“Dengan pengalaman dimiliki Sherman dalam saingan Liga M, jentera serangan Sri Pahang akan lebih padu,” kata sumber itu.

Jika Sherman sah bersama Sri Pahang musim depan, skuad itu dijangka tidak berdepan masalah di bahagian serangan.

Namun, peminat Tok Gajah mengharapkan Steven Rodriguez dari Colombia yang menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua dikekalkan.

Ini kerana penyerang berusia 24 tahun itu beraksi cemerlang apabila menjaringkan sembilan gol dalam saingan Liga Super.

Kini, SPFC perlu segera membuat keputusan untuk memastikan Rodriguez terus kekal bersama Sri Pahang musim 2023.

Gandingan dua penyerang import itu sudah pasti lebih berbisa ketika Sri Pahang dikatakan bakal tampil dengan barisan pemain berpengalaman dalam memberikan cabaran.

sumber:-HM

Dalam saingan Liga Super musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan di tempat ketujuh manakala terkandas pada pusingan awal Piala Malaysia.