sukan

Steinbruckner sah sebagai pengendali baharu TFC

Terengganu Football Club Sdn Bhd menamakan Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali baharu Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Pemilihan bekas Pengarah Teknikal TFC Sdn Bhd itu bagi menggantikan jurulatih terdahulu, Nafuzi Zain yang tidak melanjutkan kontrak bersama skuad Penyu itu, musim depan.

Steinbruckner, 56, diberi tanggungjawab mengemudi TFC yang muncul naib juara Liga Super musim ini selama semusim dan akan dibantu jurulatih berwibawa bagi memastikan skuad itu mampu ‘terbang’ lebih tinggi musim depan.

Terdahulu, puluhan permohonan diterima daripada jurulatih dalam dan luar negara untuk mencuba nasib membimbing naib juara Piala FA musim ini, namun pihak pengurusan lebih berminat untuk melantik jurulatih kelahiran Crotia itu bagi menduduki kerusi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pemilihan Steinbruckner memegang jawatan ketua jurulatih TFC bagi membentuk pasukan mantap untuk mengharungi saingan Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

“Pengendali baharu itu sebelum ini sudah dilantik pengarah teknikal bermula musim ini, beliau menandatangani kontrak selama setahun iaitu bermula 1 Disember 2022 hingga 31 Disember 2023.

“Beliau yang memegang lesen kejurulatihan UEFA dan pernah mengendalikan pasukan Liga M sebelum ini dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pengendali TFC sebelum ini.

“Beliau menganalis pasukan sedia ada serta sama-sama mengharungi saingan Liga M 2022, semestinya cabaran untuk mengendalikan pasukan adalah besar kerana pasukan ini mengakhiri saingan Liga M dengan rekod baik.

“Sudah semestinya pihak pengurusan kelab dan penyokong ingin melihatkan rekod lebih cemerlang dapat dicapai bagi saingan 2023,” katanya pada sidang media, hari ini.

Steinbruckner memulakan kariernya sebagai pemain bersama kelab negaranya, Osijek pada 1984 hingga 1992 sebelum berhijrah ke kelab Belisce dalam liga sama.

Pemain yang beraksi di posisi tengah itu menamatkan kariernya sebagai pemain dengan kelab Singapore Armed Forces FC pada musim 1999 sebelum bergelar jurulatih bersama kelab dalam Liga Croatia, NK Osijek pada 2008.

Musim ini beliau memegang jawatan pengarah teknikal bermula Mac lalu bagi menggantikan bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.

sumber:-HM

Kehadiran Steinbruckner yang pernah membimbing pemain kebangsaan seperti Safawi Rasid, Arif Fadzilah Abu Bakar dan pemain Selangor FC, Norhakim Hassan pasti bakal merancakkan lagi kancah Liga M selepas kali terakhir menjawat jawatan ketua jurulatih pada 2015 ketika membimbing kelab T-Team yang berpangkalan di Terengganu.