sukan

Jimmy pula sah tinggalkan NSFC

Selepas penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed memilih pasukan baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, turut berbuat demikian ialah tonggak pertahanan pasukan itu, Ahmad Khuzaimi Piee.

Khuzaimi yang lebih mesra dipanggil Jimmy itu dikatakan bakal menyertai finalis Piala Malaysia musim ini iaitu Selangor FC.

Sumber NSFC menjelaskan bahawa pemain Harimau Malaya itu membuat keputusan memilih pasukan baharu bagi meneruskan kariernya di pentas saingan Liga M musim depan.

Kami akur dengan pilihan Khuzaimi untuk tidak lagi bersama Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Liga M musim depan. Kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pemain pertahanan itu yang berpindah ke pasukan lain untuk musim 2023.

Kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada beliau kerana telah memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan Negeri Sembilan hingga berjaya menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim ini.

“Kami mendoakan Khuzaimi dapat terus mencipta nama di persada liga tempatan dan berjaya dalam kerjayanya,” katanya di sini, hari ini.

Biarpun hanya semusim bersama skuad Hobin Jang Hobin, namun sumbangan Khuzaimi kepada pasukan itu tidak boleh dinafikan.

Malah personaliti dan karektor pemain kelahiran Melaka ini di atas padang jelas amat dihormati rakan lain serta mampu mempengaruhi keputusan sesuatu perlawanan.

Khuzaimi turut mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila pemain berusia 28 tahun itu dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon pada Mac 2022.

Penampilan dia dalam beberapa perlawanan antarabangsa mendapat pujian orang ramai kerana ketenangannya mengawal benteng pertahanan Harimau Malaya.

sumber:- HM

Sejak dari itu, prestasi pemain berkaki kidal ini sering mendapat perhatian penyokong bola sepak dan kewibawaan dia juga berjaya menarik minat beberapa pasukan Liga M untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan.