sukan

Safawi Rasid dikaitkan dengan pasukan baharu

Benarkah Safawi Rasid akan kembali memperkuatkan Terengganu FC musim depan?

Itu persoalan yang timbul apabila tersebarnya khabar angin kepulangan semula Safawi ke ‘kampung halamannya’ selepas menabur bakti selama lima musim di Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ia timbul susulan viralnya profil tonggak sayap itu di Wikipedia yang menunjukkan Safawi akan menyertai skuad Penyu musim depan yang di bawah kendalian jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner.

Begitupun, sehingga kini ia masih lagi sekadar khabar angin tatkala maklumat di Wikipedia boleh diakses oleh sesiapa sahaja bagi menukar maklumat di carian itu.

Bagaimanapun, segala kemungkinan itu mungkin boleh berlaku kerana pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengesahkan beberapa hari lalu dalam temubualnya di laman sosial Johor Southern Tigers (JST) yang pihaknya akan meminjamkan ramai pemain kelab itu kepada pasukan lain.

Perubahan yang akan berlaku (musim hadapan), akan ada beberapa pemain senior yang akan dipinjamkan. Ada juga pemain senior yang dikekalkan demi kestabilan bilik persalinan.

“Pemain ini merupakan pemain yang mempunyai pengaruh. Mereka mempunyai ciri kepimpinan yang baik supaya boleh menjaga pemain muda kami,” kata Tunku Ismail, Rabu lalu.

Lantas, tidak mustahil Safawi yang baharu menamatkan zaman bujangnya Isnin lalu akan menyarung jersi pasukan lain musim depan.

sumber:- HM

Jika benar, ia dilihat langkah tepat dalam mengembalikan semula sentuhan Safawi yang sebelum ini sering dibayangi kelibat Arif Aiman Hanapi hingga menyebabkan dia tersisih di bangku simpanan sejak dua musim lalu.