sukan

Syihan sah tinggalkan NSFC

Desas desus penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC) Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berhijrah ke pasukan lain terjawab apabila secara rasmi dia meninggalkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Perkara itu dikongsikan NSFC menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan berkenaan di mana Syihan meninggalkan kelab terbabit selepas beraksi hanya semusim.

Penjaga gol Harimau Malaya berusia 26 tahun itu dikatakan berpindah ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Negeri Sembilan merakamkan penghargaan kepada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi atas khidmat dan bakti beliau sepanjang bersama pasukan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Syihan dikaitkan dengan beberapa pasukan besar dalam saingan Liga Super termasuk JDT selepas menampilkan prestasi yang baik sepanjang musim.

Pemain berasal dari Kelantan itu membantu skuad Hobin Jang Hobin menamatkan saingan liga di tangga keempat selain mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Prestasi cemerlang bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) itu turut menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pang-gon, apabila dia dipanggil beraksi pada saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2024 dan juga kejohanan empat penjuru merebut Piala Raja Thai.

Terdahulu, kaitan Syihan dengan penghijrahan ke JDT hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan terutama di Negeri Sembilan meskipun pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berseloroh mengatakan tidak mengenali pemain terbabit.

sumber:- HM

“Siapa Syihan. Saya tidak kenal,” kata Tunku Ismail secara berseloroh, baru-baru ini.