sukan

Tuntutan Kim Pan Gon

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengingatkan keputusan perlawanan bukanlah satu-satunya ukuran untuk menilai keupayaan pasukan sebaliknya beliau lebih mahu melihat peningkatan dalam persembahan setiap pemain.

Katanya, sikap mahu berjuang dan berusaha adalah elemen yang penting kerana ia akan membawa nilai tambah dalam permainan pasukan.

Lantas, jurulatih dari Korea Selatan itu tidak mahu pemainnya terperangkap apabila terlalu memberi fokus kepada corak permainan hingga mengenepikan pula elemen perjuangan di atas padang.

Apabila bercakap mengenai sasaran, tipikal untuk katakan nak jadi juara. Kami akan cuba berikan keputusan yang terbaik dan usaha bersungguh-sungguh untuk banggakan penyokong.

Saya selalu tekankan bahawa jangan sekadar tengok keputusan saja, tetapi lihat juga kepada persembahan mereka di atas padang.

“Dah tentu jika dapat berikan keputusan yang baik itu pasti akan gembirakan mereka, yang penting jangan putus asa dan berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan negara di Wisma FAM, di Kelana Jaya.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya sedang melakukan persiapan menjelang saingan Piala AFF hujung bulan ini selain dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pada 9 dan 14 Disember ini.

Ditanya mengenai mengenai sasaran di Piala AFF nanti, Pan-gon berkata beliau tidak akan mengubah sasarannya untuk kejohanan itu walaupun ramai tonggak utama tidak dapat menyertai kali ini.

“Apabila kita jemput pemain dan kita tukar sasaran, ia menunjukkan rasa tidak hormat kepada pemain sedia ada.

“Sama ada mampu capai atau tidak, apabila kita sertai sebarang kejohanan sudah tentu kita akan cuba dapatkan keputusan yang terbaik, itu adalah tugas saya. Saya hormati pemain yang sahut panggilan dan tidak akan menukar sasaran,” katanya yang hanya akan mengumumkan sasaran selepas mengharungi dua aksi persahabatan nanti.

Di Piala AFF, Malaysia di letakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura, di mana aksi pertama adalah bertandang ke Yangon untuk berdepan Myanmar pada 21 Disember ini.

sumber:- HM

Ia kemudian disusuli aksi men3ntang Laos (24 Disember) di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum ke Hanoi bertemu Vietnam (27 Disember) dan sekali lagi beraksi di depan penyokong sendiri (3 Januari) menentang Singapura.