sukan

Dalang sebenar isu tunggakan gaji MUFC akhirnya terbongkar

Dalang sebenar isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Melaka United FC (MUFC) akhirnya terbongkar apabila pemilik kelab itu, Datuk Justin Lim menegaskan baki tunggakan itu adalah daripada Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan organisasi itu dilihat cuba melarikan diri.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Justin, pihaknya yang memiliki 70 peratus pegangan saham MUFC sudah melaksanakan tanggungjawabnya dari segi kewangan secara 100 peratus bagi tahun 2021 dan 2022.

Namun, baki 30 peratus yang dikuasai MUSA masih lagi tertunggak, di mana berdasarkan perjanjian kedua-dua pihak, tanggungjawab kewangan termasuk pembayaran gaji ditanggung secara bersama mengikut pegangan saham masing-masing.

Dedah Justin lagi, penama bagi pihak MUSA adalah Datuk Kadir Abd Idris, yang juga bekas Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Pihak Kenteam (Kenteam Medical Sdn Bhd) akan terus mengejar MUSA selaku pemegang saham 30 peratus dalam MUFC untuk memastikan pihak mereka melaksanakan tanggungjawab mereka yang sehingga kini masih belum membayar walaupun satu sen pun.

“Untuk makluman, pihak kami sudah membuat tuntutan daripada MUSA dan komunikasi sudah pun bermula dari Ogos 2022, tetapi perkara ini tidak diambil peduli oleh mereka yang akhirnya mengakibatkan pasukan MUFC tidak bermain di Piala Malaysia dan tidak mendapat Lesen Kebangsaan 2023,” katanya.

Ujar Justin lagi, tindakan MUSA menubuhkan pasukan adalah untuk mengelak daripada melunaskan tunggakan terbabit, dan cuba mengalih pandangan umum untuk menampakkan sisi negatif di pihaknya.

“Apa yang lebih mengecewakan lagi, terdapat khabar angin melalui sidang akhbar bahawa MUSA telah mengambil sikap lepas tangan dengan menubuhkan pasukan baru untuk bertanding di Liga M3 dengan niat dan tujuan untuk mengendahkan tanggungjawab mereka kepada MUFC.

“Akibat daripada tingkah laku MUSA dengan menubuhkan pasukan baru, permohonan MUFC untuk bertanding di Liga M3 juga telah ditolak oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL) disebabkan tidak mendapat pencalonan dan pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Melaka.

“Semua perkara yang terjadi ini ini telah dimaklumkan kepada semua pihak dalam kelab ini termasuk jurulatih, pemain dan sekretariat terlebih awal pada ketika pihak pengurusan kelab memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyelesaikan isu perlesenan,” katanya.

Justin turut mengakui, sedang berusaha mencari pelabur baharu dengan beliau sedia menjual 70 peratus saham MUFC kepada pihak yang berminat.

“Disebabkan ini, Kenteam telah mengambil keputusan untuk menjual 70 peratus saham MUFC kepada pihak yang berminat bagi meningkatkan dana syarikat dan menyelesaikan hutang-hutang yang tertunggak.

“Proses rundingan ini telah berlangsung dan pihak berminat telah diberikan masa 30 hari untuk memuktamadkan perjanjian jual beli.

“Akhir kata, saya ingin menyatakan bahawa saya dan Kenteam telah melakukan segala-galanya dan telah memberikan 100 peratus komitmen kepada kelab bolasepak negeri Melaka.

“Walaubagaimanapun, ia amat mengecewakan apabila pemegang saham lain dalam MUFC bersikap tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan pemain-pemain dan kakitangan MUFC dan hanya melepaskan tangan sahaja.

“Oleh itu, dengan dukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak dapat lagi meneruskan untuk berjuang kepada kelab bolasepak negeri Melaka jika terdapat sikap lepas tangan daripada pemegang saham lain dalam MUFC iaitu MUSA dan pihak Kenteam akan teruskan dengan hasratnya untuk menjual 70 peratus saham dalam MUFC kepada pihak yang berminat,” katanya.

sumber : HM

Terdahulu, pemain MUFC memohon bantuan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menyelesaikan tunggakan gaji lima bulan selepas pihak MUFC dan MUSA didakwa melarikan diri.