sukan

Misi pikat dua jurulatih sekaligus

Pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Ahmad Zikri Mohd Khalili mempunyai misi serampang dua mata yang harus diselesaikan.

Dia mahu tersenarai dalam pasukan muda negara dan pada masa sama, memikat hati ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe supaya kerap diturunkan pada musim depan.

Zikri berkata, menerusi pemilihannya dalam skuad B-23 diharap mampu menyerlahkan kemampuan seterusnya membuktikan kehadiran dalam pasukan muda negara dan kelab adalah berbaloi.

Beraksi dengan skuad B-23 adalah peluang untuk saya tunjuk kepada Cheng Hoe yang saya layak bermain bersama skuad Selangor.

“Pada masa sama, saya kurang minit permainan sejak Cheng Hoe ambil alih, tapi saya akan kerja keras lagi,” katanya.

Zikri dilihat sering memanaskan bangku simpanan sejak kehadiran Cheng Hoe ke kem Selangor, sekali gus berharap musim depan nasib lebih memihak kepadanya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Selain itu, pemain berusia 20 tahun itu mengakui minit permainan sangat penting bagi setiap pemain bola sepak jika mahu meningkatkan prestasi.

“Minit permainan dapat mematangkan permainan saya dan setiap pemain mengejar minit permainan kerana ia akan meningkatkan kualiti permainan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia tiada masalah mengikuti corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkan jurulatih skuad B-23 negara, E Elavarasan.

sumber:- HM

“Saya tidak berhadapan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan dan latihan yang diterapkan jurulatih kerana ia mampu mempertingkatkan lagi keupayaan pada masa akan datang,” katanya.