sukan

Nasihat jurulatih berpengalaman kepada Safawi tarik perhatian

Tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid perlu bersedia mengharungi cabaran lebih besar apabila dipinjam ke kelab Thailand, Ratchaburi FC iaitu berjauhan dengan isteri, Syifa Melvin yang baharu dikahwininya minggu lalu.

Walaupun situasi terbabit agak melucukan, namun jurulatih bola sepak berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, perkara itu boleh mengganggu pemikiran Safawi apabila terpaksa ‘berpisah’ dengan isterinya untuk beraksi di Thailand.

Beliau berkata, pemain berusia 25 tahun itu ketika ini bergelut untuk mendapatkan kembali prestasinya yang dilihat merudum sehingga tidak lagi membarisi kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Perkara utama apabila tukar haluan adalah memastikan prestasi kembali ke tahap optimum dan tampil lebih meyakinkan kelak terutama ketika mewakili negara.
“Saya melihat cabaran yang bakal dihadapi bukan hanya perlu bersaing dengan pemain lain apabila beraksi dengan kelab Thailand itu, namun lebih kepada perlu menerima keadaan berjauhan dengan isterinya.

“Safawi baharu saja berkahwin dan apabila hubungan jarak jauh antara suami dan isteri ini sebenarnya cukup mencabar, sekali gus dia perlu biasakan diri bagi memastikan tidak mengganggu emosinya kelak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, teka teki destinasi seterusnya pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu terjawab apabila JDT mengesahkan perpindahan Safawi ke Liga Thailand secara pinjaman.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial JDT, Safawi dan seorang lagi pemain import, Moussa Sidibe akan dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC.

Pengarah Teknikal JDT, Hector Bidoglio dalam posting itu mengucapkan maju jaya buat kedua-dua tonggak terbabit.

Selain itu, Azraai mengingatkan Safawi bahawa beraksi bersama kelab Thailand bukanlah ‘percutian’ kerana dia perlu bekerja keras memastikan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

sumber:-HM

“Seperti sedia maklum, kelab Thailand dibarisi pemain hebat termasuk import, sekali gus bukanlah kerja mudah untuk Safawi mendapat tempat dalam pasukan,” katanya.