sukan

Pengorbanan Safawi untuk Harimau Malaya

Walaupun berdarah manis apabila baru saja melangsungkan perkahwinan dengan pelakon, Syifa Melvin, tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid tetap meletakkan panggilan pasukan kebangsaan sebagai keutamaan.

Pengorbanan itu harus dilakukan pemain berusia 25 tahun itu apabila meninggalkan sementara Syifa demi fokus untuk membantu Harimau Malaya menghadapi kempen Piala AFF 2022.

Malah, persoalan mengenai bulan madu belum berada dalam fikirannya kerana hanya ada satu perkara dalam kepalanya ketika ini iaitu skuad kebangsaan semata-mata.

“Isteri sentiasa memberi kata-kata semangat untuk saya di mana pun saya berada. Dia di belakang saya jadi tiada apa-apa (masalah).

“Tengok kalau menang Piala AFF 2022, baru saya bincang pasal bulan madu. Sekarang fokus pada sesi latihan dan persediaan untuk Piala AFF.

“(Ke Thailand) mestilah saya bawa (isteri) sekali,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.

Terdahulu, Safawi dan Syifa yang juga pempengaruh sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan di sebuah hotel ternama pada 28 November lalu.

Dalam perkembangan lain, Safawi menzahirkan rasa penghargaan kepada kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi selepas pasukan itu bakal menjadi destinasi baharunya bermula tahun depan.

“Saya hargainya kerana mereka mahukan khidmat saya dan saya pun tidak sabar (untuk beraksi).

sumber:-HM

“Apapun, saya perlu fokus untuk Piala AFF dulu dan kalau ada rezeki, saya akan berikan yang terbaik untuk Ratchaburi,” katanya.