‘Pintu’ buat pemain muda sensasi negara yang beraksi di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin untuk bersama skuad Harimau Malaya ataupun skuad Bawah 23 tahun (B-23) pada masa akan datang tidak akan tertutup sekalipun namanya ‘tercicir’ pada latihan pusat kali ini.
Pengendali skuad B-23, E Elavarasan menjelaskan nama pemain yang mewakili kelab K V Kortrijk itu ‘lekat’ pada panggilan pusat kali ini, namun tidak dilepaskan oleh pengurusan pasukan itu susulan tarikhnya yang berada di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Kita memang mahu memanggil Luqman untuk bersama skuad B-23 tetapi pasukan tidak mahu melepaskannya atas alasan masih ada aksi kompetitif yang perlu diharungi.
“Malah, skuad senior (Harimau Malaya) juga ada membuat permintaan untuk mendapatkan khidmat Luqman, tetapi tidak kesampaian. Jadi kita akan tunggu dan lihat bagaimana peluang Luqman untuk bersama kami pada kem latihan pusat seterusnya,” kata Elavarasan.
Sebagai rekod, kali terakhir Luqman bersama skuad senior negara adalah pada aksi antarabangsa bertemu Singapura dan Filipina yang berlangsung di Singapura, Mac lalu.
Bagi saingan di peringkat B-23 pula, Luqman turut berada dalam skuad utama Harimau Muda yang beraksi pada temasya Sukan SEA di Vietnam dan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada awal tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Elavarasan mengakui berpuas hati dengan komitmen yang diberikan semua pemain B-23 yang dipanggil dengan menamakan seorang pemain, Aliff Najmi Shaaini sebagai tonggak berpotensi diserapkan dalam skuad senior.
“Buat masa ini ada satu pemain yang berpeluang untuk diserap ke skuad senior iaitu Aliff Najmi Shaaini dari Kelantan FC yang menunjukkan prestasi baik ketika aksi persahabatan menentang Harimau Malaya, Jumaat lalu.
sumber:-BH
“Mungkin ada satu atau dua lagi pemain akan menyertai skuad senior pada masa akan datang sebagai pendedahan,” katanya.