Paulo Bento mengumumkan dia tidak akan lagi menjadi jurulatih Korea Selatan selepas mereka tersingkir daripada Piala Dunia ekoran kekalahan 1-4 di tangan Brazil awal pagi tadi.
“Kini saya perlu memikirkan masa depan dan tidak lagi bersama pasukan Korea. Saya mahu berehat dan lihat apa yang seterusnya,” kata bekas jurulatih Portugal berusia 53 tahun itu selepas tewas di pusingan 16 terbaik.
“Saya baru memaklumkan perkara ini kepada pemain dan presiden persekutuan kebangsaan.
“Ia adalah keputusan yang saya putuskan pada September. Hari ini saya mengesahkannya. Saya perlu berterima kasih kepada mereka dan amat berbangga menjadi pengurus mereka.”
Bento mengambil alih selaku jurulatih selepas Piala Dunia 2018 menggantikan Shin Tae-yong.
Di Qatar beliau membawa Korea Selatan ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2010 dengan kemenangan terakhir ke atas Portugal pada perlawanan terakhir kumpulan.
Bagaimanapun mereka tewas kepada Brazil selepas ketinggalan 4-0 pada babak pertama di Stadium 974 Doha biarpun mendapat satu gol menerusi pemain gantian Paik Seung-ho.
“Saya percaya kami boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan pada Piala Dunia ini dan apa yang kami lakukan sejak empat tahun lalu untuk sampai ke sini,” kata Bento yang membimbing negaranya asalnya pada 2014 di Brazil.
sumber:-HM
Pasukan Korea yang diketuai oleh Son Heung-min tiba ke Qatar dengan menduduki tempat kedua dalam kumpulan kelayakan di belakang Iran tetapi mereka tersingkir di peringkat 16 terbaik dan ini bermakna pasukan itu belum pernah memenangi sebarang perlawanan di peringkat kalah mati.