sukan

Masih belum terima tawaran

“Saya harap dapat kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) buat tahun kedua berturut-turut,” luah bekas pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Pape Diakite.

Pemain kelahiran Senegal berusia 29 tahun itu berkata demikian selepas sehingga kini dia masih belum mendapat tawaran daripada bekas majikannya, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dan kelab lain dalam Liga M.

Justeru pemain yang memiliki ketinggian 1.93 meter meletakkan harapan yang tinggi agar khidmatnya dapat diintai mana-mana kelab kerana dia lebih gembira beraksi di Malaysia.

Mengenai destinasi saya musim depan, saya belum tahu lagi, masih belum buat keputusan kerana tidak mendapat sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan, namun saya lebih berminat untuk meneruskan karier dalam Liga M.

“Lagipun saya begitu gembira beraksi bersama TFC walaupun baharu semusim, skuad ini antara yang terbaik dalam Liga M, saya mahu skuad ini tahu sememangnya saya mahu kekal bersama TFC, tapi sehingga sekarang saya masih tidak nampak sebarang tawaran ataupun untuk ditandatangani, saya perlu jujur.

“Lagipun saya ada menerima banyak mesej daripada peminat setia TFC sejak beberapa bulan lalu, mereka mahukan saya kekal bersama skuad ini, perkara ini sesuatu yang positif sekali gus membuatkan saya bekerja lebih keras lagi, tapi apa boleh buat?” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya adakah faktor jurulatih baharu TFC, Tomislav Steinbruckner menyaksikan namanya sehingga kini tidak berada dalam skuad itu, pemain beragama Islam itu tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung situasi itu.

“Pandangan saya ianya tidak berkaitan dengan jurulatih, pihak pengurusan yang membuat keputusan sama ada mahukan khidmat saya atau sebaliknya, saya perlu bersangka baik, mungkin mereka mempunyai perancangan lain pada musim depan.

sumber:- HM

“Bagaimanapun jika ditakdirkan saya tidak lagi beraksi bersama pasukan ini (TFC), saya tetap rindukan peminat setia, mereka boleh menyokong biarpun saya sudah tidak ada lagi bersama pasukan ini kerana suasana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah luar biasa setiap kali kami bermain,” katanya.