sukan

Pemain muda dipanggil sertai kem latihan Harimau Malaya

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, memanggil pemain skuad B-23 negara, Aliff Izwan Yuslan, untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF 2022 bermula 20 Disember ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata pemain berkenaan telah menarik perhatian Pan-gon ketika Harimau Malaya mengadakan sesi latihan bersama skuad B-23 kebangsaan kendalian E. Elavarasan pada 30 November dan 1 Disember lalu serta perlawanan latihan membabitkan kedua-dua pasukan berkenaan pada 2 Disember lalu.

“Selepas berakhirnya kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan selama 10 hari dari 27 November lalu yang berakhir hari ini, Elavarasan selaku ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan dan juga penolong jurulatih Harimau Malaya turut memberi rekomendasi kepada Pan-gon untuk penyenaraian pemain ini ke skuad senior,” kata kenyataan itu

Aliff Izwan, 18, yang merupakan striker Selangor FC II, akan melaporkan diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada Rabu, 7 Disember 2022, bersama-sama penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, daripada Terengganu FC yang namanya memang tersenarai dalam skuad senior.

Sementara itu, Pan Gon terpaksa menggugurkan pemain sayap Terengganu FC, Faiz Nasir, yang mengalami masalah kesihatan, sekali gus tidak dapat meneruskan latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya biarpun telah hadir melapor diri pada 29 November lalu.

sumber:- SA

Dengan perkembangan terbaru ini, jumlah pemain yang berada dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini ialah seramai 28 pemain termasuk Dion Cools yang akan melapor diri pada 16 Disember ini.