sukan

Pemilihan pemain ditangan Nafuzi

Pengendali baharu skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain akan diberikan kuasa 100 peratus dalam hal pemilihan dan kemasukan pemain baharu untuk Sang Kenari bagi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemilik utama KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, proses pemilihan semua pemain baharu yang diamanahkan kepada Nafuzi itu adalah konsep tepat selaras dengan tanggungjawabnya untuk menyiapkan sebuah pasukan serba mantap dengan corak permainan paling sesuai.

“Jurulatih adalah orang paling rapat dengan semua pemain dan memang tepat apabila jurulatih diberi kuasa memilih pemain kerana itu adalah konsep asli.

“Saya bersama Ketua Pegawai Eksekutif mengesahkan ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan dalam melakukan pencarian bakat baru atau ‘scouting’ dengan melihat dan mengkaji sebelum membuat keputusan.

“Cuma jurulatih akan rujuk kepada pihak pengurusan mengenai pandangan dari sudut bajet kerana perlu ada kolaborasi dalam melengkapkan keseluruhan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali turut melihat kemampuan Nafuzi dalam melengkapkan pasukan menjadi agenda utama yang sedang digiatkan sebelum Liga M bermula.

“Memang proses pemilihan pemain semua kami di pihak pengurusan akan beri kuasa penuh kepada ketua jurulatih dan rasanya pengurusan dari dulu hingga sekarang melakukan perkara yang sama.

“Yang mana baik untuk jurulatih, itu baik untuk kami dan kami tahu beliau memiliki kemampuan terbaik untuk memilih atau mengenalpasti bakat pemain baharu untuk musim depan,” katanya.

Pengendali kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu akan bergandingan dengan pembantu jurulatih sedia ada iaitu Victor Andrag dalam kumpulan kejurulatihan yang disertai Mohd Yazid Mohd Yassin sebagai jurulatih penjaga gol dan dibantu Abdul Hadi Hamid.

Bagi jurulatih kecergasan dan fisioterapi, KDA FC turut menamakan Antonio Silvio Santos dan Helber Richard Quintana dari Brazil bagi melengkapkan senarai kejurulatihan pada musim depan.

sumber:-HM

KDA FC yang bakal berwajah baharu musim depan akan menampilkan 25 pemain membabitkan lapan pemain yang masih memiliki kontrak sejak musim ini dan empat pemain yang akan ditawarkan kontrak baharu selama setahun bermula musim depan.